NC USM MERAIKAN PELAJAR ANAK YATIM USM
USM PULAU PINANG, 2 April 2024 - “Agenda kebajikan merupakan satu aspek yang amat penting di Universiti Sains Malaysia (USM). Di USM, kami sentiasa memperjuangkan usaha untuk memastikan kebajikan pelajar sentiasa dijaga dengan baik.”
Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang hadir di Majlis Berbuka Puasa bersama Pelajar Anak Yatim USM yang diadakan buat julung kalinya anjuran Unit Kebajikan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USM (BHEPA).
“Saya dan pihak Universiti ingin menyampaikan doa dan sokongan kepada anak-anak yang hadir hari ini.
“Saya faham betapa sukar dan payahnya menghadapi rasa kehilangan ibu, ayah, atau kedua-duanya. Ibu bapa adalah insan yang paling penting dalam kehidupan kita,” kata Abdul Rahman.
Pesan Abdul Rahman kepada para pelajar yang diraikan, meskipun mungkin merasakan kekurangan, adalah penting untuk terus berusaha dengan membuktikan kepada keluarga, adik-adik, dan saudara yang lain bahawa kita mampu menghadapi segala cabaran kehidupan.
“Marilah kita teruskan perjalanan kita dengan harapan dan keazaman yang tinggi, dan semoga setiap langkah yang kita ambil dipermudahkan dan diberkati oleh Allah SWT,” katanya lagi.
Abdul Rahman kemudian menyampaikan sumbangan berupa duit raya dan keperluan solat berserta kuih raya kepada mereka yang diraikan.
Turut diselitkan dalam majlis selepas berbuka ialah solat Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh Timbalan Naib Canselor HEPA USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.
Hadir sama adalah Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Profesor Dr. Azizah Omar; Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM, Roslan Ismail; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman dan pegawai-pegawai utama Universiti.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 357