USM RANCANG TAWAR PROGRAM IJAZAH BERSAMA UNIVERSITI JEPUN
PULAU PINANG, 29 Mei 2015 – Kerjasama antarabangsa di antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Toyohashi University of Technology (TUT), Jepun membuka ruang lebih besar ke arah pemantapan kolaborasi sedia ada serta menerokai program-program baharu.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM dan TUT akan memperluas kerjasama dalam program-program akademik dan penyelidikan khususnya dalam bidang Sains Bahan dan Kejuruteraan Elektronik.
Katanya, USM juga merancang menjalankan penyelidikan bersama yang akan menghasilkan graduan dalam kalangan kakitangan akademik USM yang bergraduasi dari TUT khususnya dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
“USM komited memberi kerjasama penuh kepada pusat Kolaborasi USM-TUT yang dibangunkan dalam kampus USM dengan mempertingkatkan program-program tertentu termasuk pengantarabangsaan TUT yang akan dibiayai oleh kerajaan Jepun.
"Kita juga menyokong usaha TUT melalui program Top Global University yang diluluskan oleh kerajaan Jepun yang akan membolehkan lebih ramai pensyarah dan staf TUT untuk bersama-sama pensyarah USM bekerjasama dalam kolaborasi penyelidikan dan pembelajaran,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika memperincikan persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak dalam mesyuarat berkala kolaborasi USM-TUT kali ke-7 dan hasil lawatan kerja ke beberapa universiti di Jepun baru-baru ini.
Omar juga berkata, USM dan TUT turut akan memperincikan usaha menjalankan program ijazah secara bersama dalam sekurang-kurangnya dua bidang permulaan iaitu Sains dan Kejuruteraan Neuro serta Pengurusan dan Kejuruteraan Bencana.
"Perincian kepada penawaran program tersebut sedang dibuat dan dijangka dijalankan di peringkat ijazah sarjana dalam tempoh terdekat.
"TUT juga telah bersetuju untuk membawa cadangan ini ke pihak kementerian di sana selepas memantapkan kerangka bidang yang berpotensi untuk menjalankan program ijazah berkembar,’’ ujar beliau.
Tambah Omar lagi, USM akan meneruskan usaha sedia ada dalam kolaborasi akademik termasuk dalam meningkatkan program pertukaran pelajar dan kakitangan dengan meneroka peluang menjalankan program ijazah berkembar dalam bidang-bidang tertentu di peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah.
"Kita juga menawarkan TUT untuk bersama-sama meningkatkan keupayaan pensyarah-pensyarah TUT mengajar dalam Bahasa Inggeris untuk program peringkat ijazah pertama di TUT.
"Perkara ini selaras dengan rangka kerja TUT untuk menjalankan program ijazah pertama serta proses pembelajaran dan pengajarannya dijalankan dalam Bahasa Inggeris,’’ kata Naib Canselor USM lagi. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1091