USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUSAT ISLAM USM LANCAR KEMPEN RAMADAN HIJAU; SOKONG AMALAN KELESTARIAN UNIVERSITI

WhatsApp Image 2024 03 28 at 10.59.05 PM

USM PULAU PINANG, 28 Mac 2024 – Demi menyokong penuh amalan kelestarian dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif untuk melancarkan Kempen Ramadan Hijau bersempena dengan bulan Ramadan pada tahun ini.

Kempen ini dianjurkan untuk mendorong warga USM dan masyarakat mengurangkan pembaziran dengan menggunakan semula barangan dan mengitar semula barangan yang boleh digunakan seperti bekas makanan dan beg kitar semula.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Ramadan peringkat USM, merangkap Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari, inisiatif ini adalah untuk menjaga alam sekitar dengan menerapkan konsep 3R iaitu 'Reduce, Reuse and Recycle'.

“Setiap tahun sepanjang bulan Ramadan, Pusat Islam USM menyediakan juadah berbuka puasa kepada kira-kira 3,000 orang setiap hari, yang mana mereka diberi pilihan untuk berbuka puasa di masjid (tempat yang disediakan) atau membawa pulang juadah yang disediakan dengan membawa bekas makanan sendiri.

“Sebagai sebuah universiti yang mementingkan amalan kelestarian, kempen ini dilaksanakan sesuai dengan menggalakkan sifar plastik, iaitu dengan mengurangkan penggunaan produk plastik sekali guna dan menggantikan alternatif yang lebih mesra alam, iaitu dengan membawa bekas makanan sendiri. Pengagihan bubur lambuk juga tidak lagi disediakan dalam plastik.

“Selain itu, kempen ini juga berinisiatif untuk memupuk amalan penggunaan beg kitar semula yang disediakan di Pusat Islam USM, untuk membawa barangan keperluan, mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna, dan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya pemuliharaan alam sekitar,” kata Zayd.

Tambah Zayd, kempen ini baru dilaksanakan pada Ramadan tahun ini dan berharap agar kempen seperti ini dapat diteruskan lagi pada Ramadan yang akan datang.

“Idea kempen ini terbit daripada kempen Pejabat Hijau oleh Kampus Sejahtera, yang kemudiannya diolah dalam bentuk program oleh Jawatankuasa Aktiviti Ramadan USM, yang mana kempen Ramadan Hijau ini akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan dengan melibatkan pengurusan sumber lain,” ujarnya.

Bagi mereka yang tidak membawa bekas makanan sendiri, Pusat Islam USM menjual bekas makanan yang berharga RM2 setiap unit dan setiap pembelian akan dimasukkan ke akaun Tabung Ramadan yang disediakan oleh Pusat Islam USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

SDG1, SDG2

  • Created on .
  • Hits: 435

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024