NAIB CANSELOR LUANG MASA BERTEMU WARGA KEPIMPINAN PALAPES USM
USM PULAU PINANG, 26 Mac 2024 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Malaysia (USM), Kol (K) Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, hari ini buat julung kalinya meluangkan masa melawat dan bertemu barisan kepimpinan PALAPES USM di Dewan Komandan, Markas PALAPES USM.
Beliau yang turut pertama kalinya mempengerusikan Mesyuarat Komandan PALAPES USM Siri 1/2024 di hadapan 22 orang pegawai PALAPES USM juga diberi taklimat berkaitan perkembangan semasa oleh pegawai PALAPES Darat, Laut, Udara dan seterusnya Pengerusi Rancangan PALAPES USM, Mejar Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim.
Pada perjumpaan tersebut, Naib Canselor menyatakan sukacitanya dan berbangga dapat bertemu barisan kepimpinan PALAPES USM sejak beliau mengambil alih takuk kepimpinan sebagai Naib Canselor dan Komandan PALAPES USM.
"Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan buat kepimpinan PALAPES USM kerana telah menyatakan beberapa hasrat dan perkara untuk kita bincang dan sepakati bersama," ucap beliau.
Jelas beliau lagi, menjadi harapannya agar program-program dan aktiviti yang disediakan oleh PALAPES dijadikan teras program akademik bukan sahaja untuk pelajar yang menyertai bahkan untuk semua pelajar USM secara keseluruhannya.
"Program yang disediakan oleh PALAPES saya lihat mampu memberi impak tinggi kepada keutamaan pembinaan sahsiah dan jati diri buat para pelajar kita," kata Abdul Rahman.
Di majlis yang sama, Naib Canselor turut dibawa melawat sekitar kawasan Markas PALAPES dan diakhiri dengan sesi fotografi bersama pegawai-pegawai PALAPES USM.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni merangkap Penaung PALAPES Laut USM, Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin; Timbalan Komandan PALAPES USM, Leftenan Kolonel Ts. Dr. Shahrizal Nazri; Ketua Jurulatih PALAPES USM, Leftenan Kolonel Ahmad Fuad Othman, barisan Pegawai, Jurulatih dan staf.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 343