USM METERAI MoU, PERJANJIAN KOLABORASI DAN SUMBANGAN DENGAN FILPAL (M) SDN. BHD. DALAM MEMAJUKAN PENYELIDIKAN REKABENTUK LITAR BERSEPADU
USM PULAU PINANG, 18 Mac 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) hari ini telah mengadakan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) serta Perjanjian Kolaborasi dan Sumbangan bersama FILPAL (M) Sdn. Bhd.
Majlis tersebut menyaksikan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab mewakili Naib Canselor USM, memeterai dokumen MoU dan MoA dengan dua wakil dari FILPAL (M) Sdn. Bhd. iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Wong Peng Wen dan Pengarah Operasi, Ng Chong Lay.
Terdahulu dalam ucapan pengenalannya, Wong menyatakan kolaborasi berbentuk transformatif ini amat bermakna kerana segala nilai dan tumpuan dalam bidang rekabentuk dan penghasilan produk elektronik akan dapat memenuhi keperluan industri dan pemegang taruh.
Seterusnya, Habibah pula melalui ucapannya menyatakan rasa bangga dengan kolaborasi yang dapat dijalankan menerusi CEDEC bersama FILPAL (M) itu.
“Pastinya ia akan dapat mewujudkan pelbagai peluang dalam membangun, menyokong serta memperkayakan program penyelidikan, pendidikan dan latihan dalam bidang elektronik,” katanya.
Tambah beliau lagi, melalui sumbangan yang diberikan oleh FILPAL (M) dalam bentuk sebuah ‘server’ bernilai RM50,000, ia akan dapat membina kerjasama penyelidikan dalam peralatan EDA yang dipacu AI dalam proses rekabentuk litar bersepadu (IC), papan litar bercetak hibrid fleksibel bagi aplikasi penderiaan elektronik serta melaksanakan program latihan bersama bagi calon pascasiswazah dan prasiswazah.
![]() |
![]() |
FILPAL (M) Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang terlibat secara meluas dalam aktiviti merekabentuk, menghasilkan dan menguji pelbagai komponen ‘radio frequency’ (RF) dan produk pelbagai bidang (radar pertahanan, satelit, menara selular, dan sebagainya).
Turut serta di majlis tersebut adalah Pengarah CEDEC, Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf; pensyarah dan penyelidik CEDEC; pegawai-pegawai utama USM; dan pegawai-pegawai utama FILPAL (M) Sdn. Bhd.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 637