DOAKAN KAMI DARI KEJAUHAN: PELAJAR USM-KLE, BELGAUM
BELGAUM, INDIA, 3 Mac 2024 – Seramai lebih 350 orang pelajar dan kakitangan akademik dan pentadbiran Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE (USM-KLE International Medical Programme) menghadiri makan malam santai bersama delegasi Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) USM dan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM di perkarangan utama Jawaharlal Nehru Medical College (JNMC), Belgaum sebagai tanda kenangan dan terima kasih.
Program santai di dalam kedinginan cuaca berangin Belgaum dimanfaatkan delegasi BHEPA dan PPSP untuk beramah mesra dan berkenalan, terutamanya dengan pelajar-pelajar tempatan (warganegara India) yang rata-ratanya belum pernah sampai ke Malaysia apatah lagi Kampus Induk, USM Pulau Pinang.
“Terima kasih kerana sudi menjenguk kami di sini dan bertanya khabar; sesi pertemuan dengan Timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi USM jarang kami peroleh dan minggu ini kami rasa amat dekat dengan USM,” ujar Nurul Nadhirah Mohamad Rosli, siswi tahun 4.
Manakala Tanvil Tilak Unchil, siswi tahun 3 yang juga merupakan antara pelajar tempatan (warganegara India), menyifatkan peluang untuk bertemu pengurusan tertinggi USM adalah antara yang mereka nantikan; beliau juga tidak sabar untuk hadir ke konvokesyen USM di Pulau Pinang walaupun masih ada dua tahun lagi pengajian.
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP USM) tunggal Kampus Pesisir USM-KLE, Haikal Ghazali menyifatkan lawatan kerja BHEPA kali ini tepat pada masanya kerana banyak isu dan kekusutan pelajar dapat dicari penyelesaiannya.
Turut hadir pada makan malam tersebut adalah Dekan PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Timbalan Dekan Penyelidikan PPSP, Profesor Madya Dr. Asrenee Abdul Razak; Timbalan Dekan USM-KLE, Profesor Madya Dr. Nik Zuky Nik Lah; dan wakil Pengerusi KLE Society, Profesor Dr. Ashok Pangi.
USM telah memulakan kerjasama dengan Karnataka Lingayat Education (KLE) Society bagi penawaran Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE (USM-KLE International Medical Programme) sejak tahun 2010 untuk melatih prasiswazah dalam bidang perubatan dengan menggunakan kurikukum USM di kampus pesisir USM-KLE Belgaum, Karnataka, India.
Teks: Unit Media dan Dokumentasi BHEPA USM/Foto: MPP USM-KLE & MedSoc
- Created on .
- Hits: 324