PROGRAM USM-KLE BELGAUM REALISASI FOKUS KE-4 KPT: PENGANTARABANGSAAN PENDIDIKAN TINGGI
BELGAUM, INDIA, 1 Mac 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah memulakan kerjasama dengan 'Karnataka Lingayat Education (KLE) Society' sejak tahun 2010 untuk melatih prasiswazah dalam bidang perubatan dengan menggunakan kurikukum USM di kampus pesisir USM-KLE Belgaum, Karnataka, India.
Sehingga kini, Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE (USM-KLE International Medical Programme) telah melahirkan ribuan doktor bertauliah di seluruh negara. Buat masa ini terdapat lebih 300 pelajar sedang mengikuti program pengajian perubatan antarabangsa tersebut.
Keberadaan kampus pesisir USM-KLE tersebut di India juga adalah sejajar dengan fokus keempat iaitu pengantarabangsaan pendidikan tinggi, daripada lima fokus utama yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seperti yang terangkum dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT).
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin telah mengadakan lawatan kerja ke Kampus USM-KLE Belgaum untuk melihat keberadaan pelajar USM di kampus pesisir tersebut.
Shaharum amat berpuas hati melihat siswa siswi Kampus USM-KLE yang kelihatan begitu bersemangat jitu dalam memastikan mereka dapat penguasaan ilmu walaupun berada jauh di di perantauan.
Beliau seterusnya mengadakan sesi perjumpaan terbuka dengan pelajar dan pimpinan persatuan mahasiswa bagi menyelami sendiri permasalahan dan membincangkan kaedah dan pendekatan terbaik untuk mengatasinya.
“Antara kelebihan pelajar USM-KLE di Belgaum adalah mereka berpeluang untuk menggunakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran perubatan berteknologi tinggi di Makmal Skil Jawaharlal Nehru Medical College (JNMC), sebuah Fakulti Perubatan terkenal di India yang menerima pembiayaan WHO, NIH USA dan diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia,” katanya.
Satu pertemuan tertutup bersama Pengerusi KLE Society, Dr. Prabhakar Kore turut diadakan bagi membincangkan cadangan terbaik untuk memastikan kebajikan dan keberadaan pelajar semasa mereka belajar di sana.
Beliau dan delegasi turut melawat kemudahan sukan, hostel, surau, dewan kuliah dan sempat meluangkan masa untuk menyantuni beberapa sesi PBL (problem-based learning) dan melihat sendiri perkuliahan yang menjadi aktiviti wajib setiap pelajar di kampus kecil ini.
Suatu sesi bersama tenaga pengajar dan pengurusan USM-KLE IMP yang diketuai oleh Profesor Dr. H. B. Rajasekhar turut diadakan untuk mengambil maklum pandangan pihak KLE terhadap prestasi, disiplin, dan kepatuhan dan peraturan pelajar sepanjang permukiman lima tahun mereka di Belgaum.
Shaharum turut dibawa untuk melawat Hospital KLES Prabhakar Kore, sebuah hospital dengan komposisi lebih 2,000 katil seluas 17 ekar yang menjadi tempat latihan klinikal pelajar USM-KLE yang kelihatannya hampir sama seperti fungsi Hospital USM di Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian.
Delegasi BHEPA USM juga dibawa melawat KLE Centenary Charitable Hospital sebagai hospital kedua tempat latihan klinikal khusus untuk pelajar USM-KLE.
Delegasi BHEPA USM turut disertai oleh Dekan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Timbalan Dekan Penyelidikan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Madya Dr. Asrenee Abdul Razak; dan Timbalan Dekan USM-KLE, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah.
Teks: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Dokumentasi BHEPA USM/Foto: Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah, Timbalan Dekan USM-KLE
- Created on .
- Hits: 361