PELAJAR PERUBATAN USM KAMPUS PESISIR KLE, BELGAUM INDIA TONJOLKAN BAKAT TARIAN DI FESTIVAL SOUTH EAST ASIA MUMBAI
MUMBAI, INDIA, 27 Februari 2024 – Seramai sebelas orang pelajar perubatan USM di Kampus Pesisir KLE, Belgaum, Karnataka, India telah dijemput oleh Konsulat Jeneral (Malaysia) di Mumbai untuk membuat persembahan kebudayaan Melayu di Festival South East Asia pada 24 Februari 2024 yang lalu bertempat di Urmi Axis Building, Opp. E. Moses Road, Mahalaxmi (West), Mumbai.
Persiapan perjalanan dan persembahan pelajar turut dibantu oleh Timbalan Dekan USM-KLE, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah.
Bagi menceriakan suasana majlis semasa program berlangsung, pelajar perubatan USM yang mewakili pihak Kedutaan Malaysia telah mempersembahkan tiga jenis tarian iaitu Inang Cemara, Zapin Ya Salam dan Joget Si Pinang Muda.
Pihak Kedutaan Malaysia di Mumbai menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas penyertaan siswa/i Kampus USM-KLE melalui persembahan menarik yang ditunjukkan oleh mereka.
Festival South East Asia dengan kerjasama VSF. Global merupakan sebuah program bersama yang turut dihadiri oleh delegasi Konsulat Jeneral dari negara Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Pelbagai aktiviti menarik lain telah disediakan kepada pengunjung antaranya ialah gerai jualan dari Malaysia dengan penyediaan makanan/minuman sebanyak 19 jenis dan keunikan hasil kraftangan antara keempat-empat buah negara.
Antara yang hadir bersama semasa program berlangsung ialah Ketua Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai, India, Ahmad Zuwairi Yusoff; Konsulat Jeneral Thailand, Donnawit Poolsawat; Konsulat Jeneral Indonesia, Eddy Wardoyo; Konsulat Jeneral Vietnam, Le Quang Bien; dan tetamu kenamaan lain.
Teks & Foto: Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah, Timbalan Dekan USM-KLE/Unit Media dan Dokumentasi BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 276