USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TANAMAN INTEGRASI CENDAWAN VOLVARIELLA TINGKAT PENDAPATAN PEKEBUN KECIL

f00b7627 bc70 41ab a003 583b0912cc0f

KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 4 Mac 2024 – Usaha penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memindahkan ilmu kepada penduduk tempatan telah membuahkan hasil apabila pekebun kecil di kawasan ini telah berjaya menanam tanaman integrasi cendawan Volvariella atau cendawan sawit dan meraih pendapatan lumayan.

Menurut Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin, sistem tanaman integrasi ini akan membantu penduduk meningkatkan pendapatan mereka melalui tanaman secara berkelompok dan tanaman cendawan Volvariella dipilih adalah kerana ianya mudah, murah dan senang untuk dijalankan.

23655221 a649 44e0 a88f 03847aebe6ba

“Golongan sasar yang terlibat dalam projek ini adalah seramai 30 orang dalam kalangan ibu tunggal dan suri rumah dan anggaran pendapatan tambahan yang telah dijana dalam laporan projek ini mencecah RM4,000 sebulan,” tambah Ainul Mohsein yang mewakili Timbalan Naib Canselor JIM USM, Profesor Dr. Azlan Amran menyampaikan ucapan perasmian di Program Libatsama Pemerkasaan Komuniti Cendawan Volvariella 2024 dalam Kawasan Pinang Tunggal.

Ketua penyelidik iaitu Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM, Dr. Jacquelina Karimon telah memulakan projek tanaman integrasi cendawan Volvariella di kawasan ini sejak setahun lalu.

Menurut beliau, tanaman ini sangat mudah dan murah untuk dilaksanakan namun ianya bergantung kepada cuaca semasa kerana cendawan memerlukan kelembapan yang tinggi berbanding cahaya matahari.

23781f4c 5e37 4acc 90c0 4e4ab3d0b019

“Projek ini melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Tok Bedu dan Kampung Kubang Menerong, yang mana penanaman cendawan ini menggunakan kaedah yang baharu kerana memberikan pelbagai faedah seperti pengurusan yang mudah dan kos yang rendah, boleh dilaksanakan oleh pekebun secara sambilan di samping menguruskan tanaman sedia ada dan menggunakan hasil buangan kilang kelapa sawit,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, projek ini menyokong agenda USM untuk mengupayakan komuniti lestari dengan menjaga kesejahteraan persekitaran fizikal, dan penanaman cendawan ini akan menerapkan pertanian lestari iaitu produk yang bakal dihasilkan adalah selamat dimakan, mengurangkan pencemaran alam sekitar dan menstabilkan pendapatan petani.

“Saya berharap lebih ramai golongan yang akan dibantu melalui kerjasama dengan pemegang taruh iaitu komuniti menggembleng usaha serta inisiatif dalam aspek perkongsian dan pemindahan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran bagi memenuhi keperluan dan kehendak komuniti,” tambah Jacquelina.

Turut menyertai program ini ialah Dekan PPPJJ USM, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Rosmin Yaacob; Penghulu Kawasan Pinang Tunggal, Sayuthi Ismail; MPKK Tok Bedu, Zulkifli Saad; dan MPKK Kubang Menerong, Abdullah Che bersama lebih 50 warga USM termasuk 30 orang pelajar PPPJJ USM yang sedang berkampung menjalani Kursus Intensif selama dua minggu di USM.

Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Noor Alif Asyraf Amran (PPPJJ USM)

  • Created on .
  • Hits: 162

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024