KUMPULAN PENYELIDIK BIDANG PENDIDIKAN KELESTARIAN GERAN ERASMUS+ SERAHKAN ASET DAN LAPORAN LENGKAP AKHIR KEPADA USM
USM PULAU PINANG, 4 Mac 2023 – Sekumpulan tujuh penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menyempurnakan geran penyelidikan Erasmus+ berkaitan bidang pendidikan dan kelestarian.
Geran ‘ICT-ENABLED IN-SERVICE TRAINING OF TEACHERS TO ADDRESS EDUCATION FOR SUSTAINABILITY (ICTEEFS)’ yang tertumpu ke arah usaha penerapan pendidikan untuk kelestarian menggunakan ICT ini telah berjaya menyumbang kepada perkembangan pembangunan pendidikan di pelbagai tahap.
Sebagaimana yang telah dikongsi oleh Profesor Dr. Munirah Ghazali dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM selaku Penyelaras Geran Serantau, perjalanan projek ini merangkumi beberapa tahap pelaksanaan.
“Tahap pertama dilaksanakan secara berbilang disiplin, yang melibatkan penyelidik dari PPIP, Pusat Pengajian Sains Farmasi, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Pusat Kepakaran Serantau (RCE Penang) Pulau Pinang dan Pusat Penyelidikan Kelestarian Global (CGSS).
“Tahap kedua pula melibatkan guru-guru dari pelbagai sekolah kebangsaan yang telah dipilih dari negeri Kedah, dan juga dengan sokongan dan penyertaan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
“Tahap ketiga merujuk kepada penyediaan infrastruktur serta kelengkapan ICT seperti makmal dan peralatan komputer bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran aspek kelestarian berbantukan komputer.
“Manakala tahap keempat melihat penglibatan antarabangsa pelbagai institusi pendidikan tinggi dari negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam, Greece dan Cyprus,” jelas Munirah.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab dalam ucapannya menyatakan bahawa geran ini juga telah berjaya membina satu jaringan antarabangsa dengan terbentuknya ‘Euro-Asia Teachers’ Network’ yang dianggotai oleh pelbagai institusi pendidikan seperti sekolah, kolej, badan bukan kerajaan (NGO) serta USM sendiri.
“Diharap pensyarah-pensyarah muda USM khususnya dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM dapat terus memohon geran ini serta belajar daripada pengalaman Profesor Dr. Munirah selaku penyelaras serantau dan pasukannya dalam mengendalikan geran seperti ini dengan jayanya,” katanya lagi.
Geran Erasmus+ adalah geran daripada pihak Kesatuan Eropah (EU) yang menyokong pembangunan pendidikan, latihan, serta sukan.
Terdahulu, penyelaras projek Erasmus+ ini, Profesor Vassilios Makrakis juga telah memberi ucapan tahniah melalui rakaman video dengan berakhirnya projek selama 5 tahun kumpulan ini.
Pihak PPIP melalui Dekannya, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman serta USM juga merakamkan ucapan tahniah kepada Profesor Dr. Munirah dan pasukannya kerana telah berjaya melakar nama USM sebagai antara universiti terbaik dalam pengamalan kelestarian, dan tidak lupa juga kepada pihak PPIP yang telah memberi sokongan pelbagai bentuk kepada pasukan ini.
Turut hadir adalah Dekan PPIP USM, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman; Penolong Bendahari Kanan mewakili Bendahari, Jabatan Bendahari USM, Sharifah Zurina Syed Salim; Penolong Pendaftar Kanan mewakili Pengarah, Pejabat Pengurusan Penyelidikan dan Kreativiti (RCMO) USM, Faizulkisnu Ibrahim; dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Padang Terap, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Md Tajudin Haji Morad; Timbalan-timbalan Dekan dan pihak pengurusan PPIP, ahli-ahli Projek dan semua pegawai dan staf sokongan yang terlibat dari PPIP dan RCMO.
Sebagai rekod, penyelidik-penyelidik yang terlibat dalam projek ini adalah:
- Prof. Munirah Ghazali (ketua projek) – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
- Prof. Madya Dr. Mohammad Zohir Ahmad@ Shaari – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
- Prof Madya Dr. Rabiatul-Adawiah Ahmad Rashid – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
- Dr. Nooraida Yakob - Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
- Dr. Aidiahmad Dewa - Pusat Pengajian Sains Farmasi
- En. Mazlan Hanafi Basharudin - Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan
- Pn. Nur Syazwana Hamzah - Pusat Penyelidikan Kelestarian Global (CGSS)/ Pusat Kepakaran Serantau Pulau Pinang (RCE Penang)
Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 771