USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SUKARELAWAN USM SEDIA BERBAKTI BANTU PENDATANG ROHINGYA

 DSC7709

ALOR SETAR, 27 Mei 2015 - Sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia untuk menyumbang bakti bagi membantu mengurangkan penderitaan mereka yang memerlukan bantuan termasuk pendatang Rohingya.

Sumbangan dan bantuan kemanusiaan akan diuruskan berdasarkan keperluan asas yang diperlukan agar ia dapat mengurangkan beban pihak yang mengurus mereka yang terlibat.

 DSC7685

 DSC7680

Menurut Ketua Penolong Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), USM, Mukhwim Maghribi, sumbangan yang dibuat ini adalah tanda keprihatinan warga USM yang mengutamakan dasar kemanusiaan tanpa mengira agama, etnik atau bangsa.

"Warga USM sentiasa mementingkan isu-isu kemanusiaan seperti mana terbukti semasa bencana banjir hujung tahun lalu dan kita akan cuba sedaya upaya menyumbang bakti dan kepakaran yang ada untuk menolong termasuk keprihatinan kita terhadap isu Rohingya ini," kata Mukhwim mewakili Sukarelawan USM menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada pendatang Rohingya melalui Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Kedah.

 DSC7678

 DSC7693

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Zulkifli Che Hussin, pegawai-pegawai universiti dan sukarelawan yang terdiri dari dalam kalangan pelajar USM.

Pada majlis itu sukarelawan USM menyumbangkan beberapa kotak pakaian, barangan mandian, makanan dan lain-lain.

Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Jabatan Imigeresen Malaysia Kedah Mohd Sabri Zainal berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan amal yang diberikan oleh sukarelawan USM kepada para pendatang tersebut.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sumbangan sukarelawan USM dan berharap agar kerjasama ini akan diteruskan pada masa akan datang," kata Mohd Sabri.

 DSC7727

Jelasnya, sehingga kini seramai 394 orang pendatang Rohingya memasuki perairan Malaysia pada 10 Mei lalu yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Imigresen yang kemungkinan besar jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa dan dari maklumat yang diterima, dalam kalangan pendatang ini terdapat anak-anak yatim piatu dan beberapa orang dari kalangan mereka merupakan Tahfiz Al-Quran.

Pihaknya berharap USM akan menjadi tunjang utama meneruskan program sukarelawan seperti ini bagi membantu golongan yang memerlukan. - Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1357

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024