PEMERKASAAN STEM MELALUI MODUL SPECTROCIETY
PULAU PINANG, 25 Februari 2024 – Penurunan peratusan jumlah murid yang memilih aliran sains ketika menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat pada hari ini adalah semakin membimbangkan.
Generasi hari ini seakan semakin kurang berminat untuk mempelajari dan mendalami ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) walaupun negara amat memerlukan tenaga pakar dalam bidang ini pada masa hadapan.
Demi menyahut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang memfokuskan pemerkasaan pendidikan STEM, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Kimia telah memainkan peranannya sebagai salah sebuah institusi pendidikan tinggi awam tersohor dalam bidang sains dan teknologi melalui penganjuran program pemerkasaan STEM di komuniti setempat.
Program yang diberi tajuk “SPECTROCIETY: Pemerkasaan STEM melalui Pengetahuan Spektroskopi dalam Kalangan Pelajar-pelajar Sekolah Rendah di Pulau Pinang” telah mensasarkan penglibatan murid-murid dan guru-guru di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, Bukit Mertajam dan Sekolah Kebangsaan Sungai Ara, Bayan Lepas.
Seramai 60 orang murid Tahun 5 dan 9 orang guru mata pelajaran Sains dari kedua-dua buah sekolah telah menyertai program ini yang berlangsung dari Oktober 2023 hingga Februari 2024.
Program tersebut telah dilaksanakan oleh dua orang pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Kimia iaitu Dr. Norazzizi Nordin, selaku ketua projek dan Dr. Nurul Yani Rahim melalui peruntukan yang disalurkan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM.
Menurut Norazzizi, program ini bermatlamat menarik minat murid sekolah terhadap aliran STEM melalui pendekatan aktiviti kolaboratif yang menyeronokkan dalam modul SPECTROCIETY selain meningkatkan pengetahuan mereka terhadap konsep asas Spektroskopi yang bersesuaian dengan silibus mata pelajaran Sains peringkat sekolah rendah.
“Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan penguasaan guru dalam usaha mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran Sains yang melibatkan topik-topik berkaitan dengan pengetahuan asas Spektroskopi,” katanya.
Selain disertai oleh murid dan guru sekolah rendah, program tersebut turut dibantu oleh 28 orang pelajar prasiswazah dan siswazah dari Pusat Pengajian Sains Kimia, USM sebagai pemudahcara untuk membimbing murid-murid ketika pelaksanaan program.
Dalam satu sesi temuramah, murid Tahun 5, SK Sungai Ara, Sumayyah Aqilah Hahir Akram menyifatkan program ini amat menyeronokkan kerana pelbagai ilmu baharu diperoleh terutamanya berkaitan pengetahuan Spektroskopi selain berpeluang mendalami sifat-sifat cahaya yang dipelajari dalam mata pelajaran Sains.
Sementara itu, guru mata pelajaran Sains SK Mengkuang, Juliza Shafie berkata, program yang diadakan ini adalah bertepatan dengan kehendak pembelajaran abad ke-21 (PAK21).
“Program ini sangat bermanfaat kerana murid-murid berpeluang mendalami mata pelajaran Sains tidak sekadar apa yang terkandung dalam buku teks sahaja,” katanya.
Menurut fasilitator program, Muhamad Naim Abd Malek yang juga merupakan pelajar Doktor Falsafah (PhD) tahun 4 di Pusat Pengajian Sains Kimia, sebagai pemudahcara, dia berpeluang mendalami pengetahuan Spektroskopi dari sudut yang berbeza daripada apa yang diperolehi melalui kuliah KAT249 Kimia Analisis II.
Tambahnya, program komuniti sebegini amat diperlukan dalam melahirkan mahasiswa holistik yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Penganjuran program pemerkasaan STEM melalui modul SPECTROCIETY oleh Pusat Pengajian Sains Kimia, USM ini diharap dapat diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai murid dan guru.
Melalui penganjurannya, minat generasi muda hari ini terhadap aliran STEM diharap dapat ditingkatkan demi menarik minat mereka mendalami ilmu dalam bidang ini.
Kerjasama yang utuh antara pelbagai pemegang taruh termasuk sektor awam, industri dan masyarakat umum amat diperlukan bagi memastikan program sebegini dapat diteruskan dan berupaya melahirkan lebih ramai pakar tempatan dalam bidang STEM untuk masa hadapan negara.
- Created on .
- Hits: 515