PUSAT SEJAHTERA TERUS TRADISI ANJUR PROGRAM BERKHATAN KALI KETIGA
USM PULAU PINANG, 24 Februari 2024 – Pusat Sejahtera (PS) Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan lagi program berkhatannya buat anak-anak warga USM hari ini.
Sering menjadi satu igauan buat peserta yang merupakan kanak-kanak, akan tetapi pendekatan yang dilaksanakan PS menjadikan program ini menarik tanpa mempunyai elemen ketakutan yang terbuku dalam diri peserta.
Bertempat di PS, program bermula dengan acara penyemburan air yang menjadi simbolik kepada peserta yang dikendalikan oleh 5 orang anggota Bomba daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Perak.
Terdahulu program ini dirasmikan oleh Pengarah PS, Dr. Ahmad Zaimi Abdul Latiff di hadapan 23 orang peserta yang turut diiringi oleh ibu bapa masing-masing.
Program ini dipengerusikan oleh Penolong Pegawai Perubatan PS, Md Saiful Syuwari Samuil dan dibantu tenaga kerja mahir daripada PS yang sedia berkhidmat.
Rata-rata peserta yang menyertai program ini sangat teruja dan kelihatan gembira dengan suasana dan pendekatan yang dilaksanakan oleh PS bagi menjadikan ianya satu program yang tenang.
Program ini dilaksanakan pada musim cuti persekolahan dan bayaran sebanyak RM150 dikenakan kepada umum serta RM50 kepada anak warga USM.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 243