PPPJJ SEDIAKAN FOOD BANK UNTUK PELAJAR SEMASA KURSUS INTENSIF
USM PULAU PINANG, 29 Februari 2024 – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan makanan dan minuman ringan untuk para pelajar Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) semasa mereka menghadapi Kursus Intensif yang berlangsung sejak 26 Februari hingga 10 Mac ini.
Menurut Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, inisiatif ini adalah untuk membantu pelajar yang tidak sempat ke kafe semasa menghadapi kelas intensif dan juga Peperiksaan Berterusan (PB) kerana jadual yang padat serta menjadi salah satu usaha untuk mendokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) kedua iaitu Kebuluran Sifar (Zero Hunger).
"Saya bersyukur projek ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan ramai pensyarah yang turut sudi menyumbang untuk projek ini," tambah Zulnaidi.
"Saya juga turut bersyukur kerana Dato' Ishak Haji Mohamed atau lebih dikenali dengan Pak Sako, alumni PPPJJ turut menyumbang bagi projek ini.
Terima kasih kepada semua yang telah menyumbang dan bagi yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi pejabat Dekan PPPJJ di talian 04-653 3264.
"Saya bagi pihak PPPJJ juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pusat Pengurusan Bencana (Nerve Centre) yang turut menyediakan minuman sejuk berperisa bagi membantu pelajar kekal hidrasi di musim panas ini," tambah Zulnaidi.
Teks: Nor Rafizah Md Zain (PPPJJ)
- Created on .
- Hits: 394