PERTANDINGAN BOLING HEBAT PPPJJ DAPAT SAMBUTAN HANGAT
PULAU PINANG, 28 Februari 2024 - Seramai 64 orang pelajar dan 16 staf Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) menyertai Pertandingan Boling HEBAT hari ini yang diadakan di Sunshine Square, di sini.
Pertandingan ini adalah anjuran Jawatankuasa Pembangunan HEBAT dan Alumni PPPJJ dan diadakan sempena Kursus Intensif Sidang Akademik 2023/2024.
"Tujuan penganjuran program ini adalah untuk membudayakan gaya hidup sihat dan memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara aktif sesama mereka dan dengan pengurusan tertinggi PPPJJ," kata Timbalan Dekan Akademik, Antarabangsa dan Kerjaya PPPJJ, Dr. Hazrul Abdul Hamid.
"Penyertaan program pada kali ini adalah sangat memberangsangkan dan meliputi seluruh bidang pengajian dari pelbagai tahun pengajian, dan menjadikan sebanyak 20 kumpulan bertanding dalam pertandingan ini.
"Bagi pihak Dekan dan seluruh warga PPPJJ, saya mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang telah menyertai program pada hari ini dan berharap ianya akan menjadi kenangan terindah kepada semua pelajar," tambah Hazrul yang mewakili Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Tahniah kepada semua pemenang berkumpulan dan juga kepada Muhamad Faris Addenan dan Nur Aziatul Aznida Azhar yang menjadi pemain terbaik lelaki dan wanita masing-masing menjatuhkan 409 pin dan 357 pin.
Untuk rekod, Kursus Intensif PPPJJ USM pada sidang kali ini diadakan bermula 26 Februari sehingga 10 Mac 2024 dan dijangka lebih 4,000 pelajar akan berkampung di seluruh desasiswa bagi merasai suasana dan kehidupan sebagai seorang pelajar di kampus USM.
Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Nurul Farhana Amir Hamzah (PPPJJ)
- Created on .
- Hits: 486