42 GRADUAN SULUNG CPIAM USM-ACeIO BAKAL JADI PENGAMAL INTEGRITI BERTAULIAH
USM PULAU PINANG, 28 Februari 2024 - Pusat Pengajian Pengurusan (SOM) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah mengadakan Majlis Graduasi Program Certified Professional in Integrity Assurance and Management (CPIAM) 2023. Ia adalah sebuah program hasil kerjasama SOM USM bersama Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah atau the Association of Certified Integrity Officers (ACeiO) Malaysia.
Matlamat utama program ini adalah untuk membangunkan tenaga profesional berkualiti dan kompeten dalam menjalankan tugas-tugas dengan penuh berintegriti dalam masyarakat serta organisasi.
Program profesional seumpama ini merupakan satu pencapaian luar biasa, yang belum pernah diwujudkan sebelum ini oleh mana-mana Universiti Awam di Malaysia, kecuali kursus CeIO yang dianjurkan oleh Akademi SPRM.
Hadir bagi menyampaikan sijil kepada para graduan adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Turut hadir adalah Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia merangkap Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Cawangan Negeri Perak, Ahmad Sabri Mohamed yang juga merupakan salah seorang graduan sulung CPIAM USM dan ACeIO.
Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, beliau yakin para graduan CPIAM mampu merangka pelan strategik yang sesuai untuk diimplementasikan dalam organisasi masing-masing, sebagai langkah awal untuk mencegah perkara-perkara yang melibatkan amalan yang tidak bermoral, kurang berintegriti, atau melanggar etika kerja, termasuk kes-kes rasuah dalaman.
“Semua pengetahuan ini jarang diperolehi daripada kursus lain, dan saya berharap agar segala ilmu yang diperolehi dapat menjadi aset penting bagi para graduan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka di tempat kerja,” katanya.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan Certified Profesional in Integrity Assurance and Management 2023, yang mana mereka kini dengan secara rasminya merupakan alumni sulung program CPIAM USM dan ACeIO.
Sementara itu, Ahmad Sabri mengajak kesemua para graduan yang diraikan untuk meletakkan nilai ilmu pengetahuan yang diterima daripada universiti sebagai pengamal integriti yang bertauliah.
“Pembudayaan integriti dan tadbir urus adalah merupakan penyelesaian terbaik bagi segala masalah yang kita hadapi kini. Integriti perlu menjadi nukleus kepada tadbir urus. Oleh itu, kita dapat lihat modul ini dibangunkan khas dengan elemen jaminan integriti dan pengurusan agar pegawai-pegawai yang dilatih ini dapat memberikan impak besar kepada dunia integriti dan profesionalisme negara,” katanya.
Hadir sama adalah Dekan SOM USM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad; ahli-ahli jawatankuasa pengurusan tertinggi universiti; para tenaga pengajar USM; pegawai-pegawai utama USM dan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia.
Turut diselitkan dalam program adalah penyampaian Cek Cura Hadiah Buku berjumlah RM15,000.00 untuk konvokesyen pada tahun ini daripada Presiden ACeIO kepada USM.
Sebanyak 42 graduan menerima sijil yang terdiri daripada pegawai-pegawai daripada 20 agensi dan institusi di seluruh Malaysia.
Program ini dijalankan secara hibrid, iaitu kombinasi secara bersemuka dan dalam talian, bagi memberikan fleksibiliti kepada semua peserta terutamanya yang berada di luar Pulau Pinang, dan sebanyak lapan modul dibangunkan khas untuk program ini.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1042