USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN, JOM BERINFAQ DI TABUNG AKTIVITI RAMADHAN USM

 

IMG 20240228 WA0047

USM PULAU PINANG, 27 Februari 2024 – Empat belas (14) hari sahaja lagi SYAABAN bakal melabuhkan tirai, bulan penuh kemuliaan yang ditunggu-tunggu, RAMADHAN bakal menjelma. AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN!

Bulan kemuliaan yang penuh dengan rahmat dan dibuka peluang meraih hitungan pahala sebanyak mungkin oleh umat Islam di dunia yang bakal menunaikan rukun Islam keempat.

Begitu juga dengan Universiti Sains Malaysia (USM) yang tidak melepaskan peluang saban tahun menyediakan pelbagai aktiviti kerohanian buat jemaah dari dalam dan luar kampus sepanjang bulan Ramadhan di Masjid Al-Malik Khalid, USM.

IMG 20240228 WA0053

Apatah lagi juadah berbuka puasa yang enak disajikan seperti nasi daging, gulai kawah daging, ayam masak ros, bubur lambuk dan pelbagai lagi, amat dinanti-nantikan oleh seluruh warga kampus.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, Ramadhan merupakan bulan yang sangat istimewa dalam takwim Islam, bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia kerana dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T., melalui ibadah puasa, solat tarawih, tadarus al-quran, dan amalan-amalan mulia lainnya.

“Bulan Ramadhan juga mengajarkan kita tentang pentingnya erti kesabaran, kebersamaan, dan kepedulian terhadap mereka yang kurang bernasib baik,” kata beliau.

IMG 20240228 WA0051

Jelas Abdul Rahman, keperluan program dan aktiviti yang bakal diadakan sepanjang bulan Ramadhan ini dianggarkan menelan belanja sebanyak RM400,000 pada tahun ini.

“Sejumlah besar merangkumi penyediaan iftar untuk 3,000 orang Jemaah setiap hari melibatkan warga USM dan jemaah sekitarnya.

“Di sebalik penyediaan ini, pihak jawatankuasa berusaha bersama-sama sukarelawan berkhidmat dan berkorban selama sebulan untuk menyediakan makanan kepada semua yang hadir, semoga Allah S.W.T. memberikan kekuatan dan pertolongan,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Sambutan Hilal Ramadhan Peringkat USM Tahun 1445H/2024M anjuran Pusat Islam USM di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, USM.

IMG 20240228 WA0044

Abdul Rahman turut mengajak seluruh warga USM untuk bersama-sama mengambil peluang berinfaq dengan menyumbang kepada Tabung Aktiviti Ramadhan bagi melestarikan program imarah yang sekian lama berlangsung setiap kali bertemu dengan bulan Ramadhan.

“Saya menyeru semua warga kampus dan juga kariah komuniti di sekitar USM agar dapat menjayakan program aktiviti Ramadhan USM melalui sumbangan ikhlas ke Tabung Aktiviti Ramadhan Masjid Al-Malik Khalid, yang mana sumbangan itu sudah pastinya dapat melancarkan urusan aktiviti-aktiviti yang diadakan,” kata beliau.

IMG 20240228 WA004236

Di majlis yang sama, Naib Canselor turut melancarkan Dapur Siswa Madani, Penyerahan Penajaan Iftar Ramadhan 1445H/2024M, Pelancaran Pasukan Sukarelawan Ramadhan dan Pelancaran Tabung Aktiviti Ramadhan 1445H/2024M.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman; Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan Peringkat USM 1445H/2024M, Ustaz Zayd Zhari; Panel Moderator sempena Majlis Sambutan Hilal Ramadhan Peringkat USM Tahun 1445H/2024M, Ustaz Akhil Hayy dan Isteri, Norwahidah Abdul Wahab.

 

Sebarang bentuk sumbangan, derma atau sedekah boleh disalurkan ke Pusat Islam USM. Sumbangan boleh diberi dalam bentuk:

Wang ringgit (tunai/cek) atau dalam talian, dikreditkan ke:

NAMA AKAUN: JAWATANKUASA AKTIVITI RAMADHAN; NO. AKAUN: 07030000071716 (Bank Muamalat)

Atau Kod QR seperti di bawah:

WhatsApp Image 2024 02 27 at 16.24.46 1d9fed63

  • Created on .
  • Hits: 456

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024