USM-ICMR METERAI PERSEFAHAMAN BANGUNKAN BAKAT BAHARU DALAM PASARAN MODAL DAN PEMBANGUNAN EKONOMI
PULAU PINANG, 26 Februari 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Penyelidikan Pasaran Modal Malaysia (ICMR) buat pertama kalinya memeterai persefahaman bersama (MoU) dalam usaha kedua-dua institusi membangunkan bakat baharu berfokus kepada pasaran modal dan pembangunan ekonomi di negara ini.
Kerjasama kedua-dua pihak ini dilihat berupaya memupuk usaha kolaboratif dalam pembangunan bakat serta penyelidikan dan inovasi bersama daripada kepakaran yang dimiliki antara USM dan ICMR.
Bercakap di Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman tersebut, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Sains Malaysia, mewakili Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Azlan Amran berkata, kolaborasi pertama antara USM dan ICMR ini sekaligus mampu menghasilkan bakat dan modal insan baharu bagi menyumbang kepakaran mereka untuk pembangunan ekonomi dan sosial di negara ini.
"Pihak USM amat teruja dengan menjadi anggota penuh Research Collaboration Network (RCN), dan ini meningkatkan keupayaan USM yang disokong ICMR untuk menginstitusikan penyelidikan bagi mengukuh dan mendorong pasaran modal, seterusnya membangunkan ekonomi negara seperti yang disasar," kata beliau.
Tambah Azlan, melalui rangka kerjasama ini, USM berharap dapat menyertai usaha RCN dalam pelbagai sektor dan mempromosikan pertukaran pengetahuan untuk mendorong inovasi dan kemajuan untuk negara.
"USM berharap dapat meluaskan dan menyumbang kepakaran dengan ICMR, memperkuatkan usaha bersama untuk mencapai objektif yang sama.
"Semoga ikatan strategik ini menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih erat dan kerjasama kukuh dalam membentuk masa depan yang lebih cerah bagi masyarakat dan ekonomi negara," jelas Azlan lagi.
Pada majlis yang sama, Pengarah Institut Penyelidikan Pasaran Modal Malaysia (ICMR), Datin Azleen Osman Rani berkata persefahaman antara USM dan ICMR ini merupakan satu penghormatan buat ICMR dalam memperkasakan penyelidikan praktikal selain teori untuk pasaran modal negara.
"Sedia maklum cabaran kerja baharu masa kini amat praktikal dan semakin kompleks dengan landskap ekonomi dan sosial yang dihadapi masyarakat di Malaysia, jadi amatlah penting usahasama ini dimeterai sebagai landasan buat USM dan ICMR meneroka projek-projek penyelidikan baharu dan penerbitan bersama bagi menghasilkan modal insan yang mampu mengukuhkan landasan struktur ekonomi negara ini untuk sekarang dan masa mendatang," kata beliau.
Tambah Azleen, beliau berharap kerjasama dengan USM dapat memberi ruang dan peluang menerusi kepakaran yang dimiliki kedua-dua agensi bagi menangani cabaran-cabaran kompleks yang dihadapi oleh negara dalam pelbagai sudut, di samping berupaya menjana pendidikan inovatif untuk melahirkan modal insan yang berbakat kepada pembangunan negara.
Turut hadir di majlis berkenaan sebagai mewakili Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM, Prof. Dr. Sofri Yahya dan mewakili Dekan Pengajian Pengurusan USM, Prof. Madya Dr. Abdul Hadi Zulkafli.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 421