HOSPITAL USM BERJAYA JALANKAN PEMBEDAHAN KOYAKAN ANEURISMA AORTA TORASIK AKUT PERTAMA DI PANTAI TIMUR
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Februari 2024 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta satu lagi rekod pencapaian apabila berjaya melakukan pembedahan penggantian aorta akibat koyakan aneurisma aorta torasik akut atau ‘acute dissecting thoracic aneurysm’ melalui prosedur Bentall ke atas seorang pesakit berusia 35 tahun pada 30 Januari lalu.
Prosedur Bentall adalah pembedahan yang dilakukan untuk membaiki keabnormalan aorta.
Aorta adalah arteri terbesar dalam badan, bercabang dari jantung dan menyalurkan darah beroksigen ke semua bahagian badan. Ia dibahagikan kepada empat (4) bahagian iaitu aorta menaik (yang naik dari jantung), gerbang aorta (yang membengkok ke atas jantung), aorta toraks menurun (yang bergerak ke bawah kawasan dada), dan aorta perut (bahagian yang bermula pada diafragma).
Koyakan aorta akut adalah satu keadaan yang mengancam nyawa, yang mana koyakan berlaku di dinding aorta dan merebak ke arah jantung menyebabkan kerosakan injap dan salur darah koronari.
Terdapat dua (2) jenis koyakan aorta iaitu jenis A (melibatkan aorta menaik dan gerbang aorta yang menyambung) dan jenis B (melibatkan aorta menurun).
Koyakan aorta A adalah satu keadaan kritikal yang menyebabkan kadar kematian yang amat tinggi jika tidak dibedah dengan segera.
Menurut Pakar Kardiotorasik Hospital USM, Dr. Ahmad Zuhdi Mamat, bagi kes-kes sebelum ini, pembedahan biasanya dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN) memandangkan mereka mempunyai kepakaran dan kelengkapan peralatan yang lebih canggih.
“Syukur alhamdulillah, kini pasukan kardiotorasik Hospital USM juga mampu melaksanakan pembedahan bagi kes-kes kecemasan sebegini dengan kepakaran dan peralatan yang dimiliki.
“Walaupun peralatan yang kami miliki hanyalah peralatan asas dan tidak secanggih IJN, namun kami berjaya melaksanakannya dengan jayanya.
“Pembedahan pertama yang mengambil masa lebih tujuh (7) jam ini adalah hasil kerja berpasukan daripada pasukan pelbagai disiplin iaitu doktor-doktor bedah yang diketuai oleh saya sendiri, pakar-pakar bius yang diketuai oleh Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar, juruteknik perfusi, jururawat, dan kakitangan Hospital USM yang lain,” katanya ketika ditemu bual.
Tambah Ahmad Zuhdi, prosedur Bentall biasanya dilakukan ke atas pesakit yang mengalami pembengkakan atau koyakan aorta disebabkan oleh sindrom Marfan, iaitu penyakit genetik yang menyebabkan dinding aorta menjadi lemah dalam kalangan pesakit-pesakit muda seperti pesakit ini dan penyakit atherosclerosis yang menyebabkan kerosakan pada dinding aorta terutamanya dalam kalangan pesakit-pesakit yang berusia.
Beliau berkata, prosedur Bentall juga membawa risiko yang tinggi kerana kebanyakan pesakit terpaksa dibedah dalam keadaan kecemasan dan memerlukan keperluan teknikal yang tinggi.
“Bagi kes ini, prosedur Bentall dilakukan sebagai pembedahan jantung terbuka di mana pesakit diletakkan di bawah bius am dan disambung kepada mesin pintasan jantung dan paru-paru.
“Pakar bedah kemudiannya menghentikan jantung dan aliran darah diambil alih oleh mesin jantung paru-paru tersebut. Semasa pembedahan dijalankan, mesin tersebut mengambil alih sementara fungsi jantung dan paru-paru serta memainkan peranan untuk mengekalkan peredaran darah dan tahap oksigen pesakit.
“Aorta dan injap yang rosak kemudiannya dibuang dan digantikan dengan cantuman buatan komposit aorta dan injap aorta serta arteri koronari ditanam semula di pangkal aorta tiruan tersebut,” jelasnya lagi.
Ahmad Zuhdi berkata, pesakit kini dalam keadaan stabil dan dirawat di wad untuk pemantauan sebelum dibenarkan pulang beberapa hari lagi selepas didapati pulih sepenuhnya.
Beliau turut berharap agar pengurusan Hospital USM dapat menyediakan peralatan dan infrastruktur dewan bedah yang lebih baik seiring dengan perkembangan teknologi terkini untuk merawat kes-kes kompleks dan sebagai Hospital Pengajar Universiti yang menjadi rujukan pesakit kardiovaskular seluruh Pantai Timur.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 388