USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTEMUAN PENGUSAHA KAFETARIA DESASISWA DAN TNC HEPA BUKTI USM KOMITED TERUSKAN AGENDA SDG 1 & SDG 2

426180825 877640370827258 2979221323771106691 n

USM PULAU PINANG, 8 Februari 2024 – Kebajikan pelajar adalah satu keutamaan dan kerana pelajarlah kita semua berada di sini.

Demikian ujar Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin semasa sesi perjumpaan bersama pengusaha kafetaria desasiswa di kampus induk Pulau Pinang.

Shaharum juga memaklumkan kepada pengusaha kafetaria desasiswa agar menjalankan perniagaan makanan mereka dengan mengambil kira juga kemampuan dan kebajikan pelajar melalui jualan Menu Rahmah, sentiasa menjaga kebersihan kafetaria, senantiasa menjaga keharmonian sesama peniaga dan saling bantu-membantu sesama kita.

“Di samping menjaga kualiti makanan, pengusaha kafetaria desasiswa perlu menyokong hasrat dan komitmen universiti ke arah mengekalkan sasaran indikator Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal): SDG 2 Kelaparan Sifar (Zero Hunger) dalam usaha menjamin semua pelajar memperoleh makanan yang selamat dan berkhasiat,” katanya.

Shaharum juga memaklumkan bahawa kedudukan USM adalah terbaik untuk SDG 1, SDG 2, SDG 16 dan SDG 17 yang seterusnya dinobatkan sebagai penyandang kedudukan ke-4 di dunia dalam Times Higher Education Impact Rankings 2023 dan 2022 (2 tahun berturut-turut).

Ujarnya lagi, USM amat menghargai sokongan penggerai-penggerai yang menyediakan Menu Rahmah sebagai memenuhi keperluan asas pelajar-pelajar B40 di kampus-kampus USM yang menyokong SDG 1 Tiada Kemiskinan (No Poverty).

Sesi perjumpaan selama satu jam tersebut juga menyentuh tentang aspek sewaan, caj yang dikenakan, insuran, kebersihan, keberadaan kafetaria, kerosakan dan pengubahsuaian kafetaria.

425866287 877640250827270 4330830196459183019 n

Pengusaha kafetaria di desasiswa juga perlu jelas dengan beberapa peraturan penting yang telah dipersetujui bersama sebelum dan semasa mereka dibenarkan untuk berniaga di dalam kampus.

Dua jawatankuasa juga telah dibentuk bagi memastikan agar pengusaha kafetaria dapat mematuhi dan menjaga kebersihan persekitaran kafetaria iaitu Jawatankuasa Pemantauan dan Jawatankuasa Teknikal yang bertanggungjawab untuk memberi laporan kepada TNC HEPA dari masa ke semasa.

Turut hadir bersama ialah Ketua Pentadbiran dan Pengurusan Kewangan, Pusat Penginapan dan Perumahan Universiti, Simon Wong Heng Cheang, wakil penggawa desasiswa, staf dan pegawai BHEPA.

426231426 877640277493934 8118055594559672852 n

Teks/Foto: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Dokumentasi BHEPA

  • Created on .
  • Hits: 346

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024