INOVASI BAHARU: HEAD-BUN JIMATKAN KOS PROSEDUR INTUBASI ENDOTRAKEA
KUBANG KERIAN, 25 Mei 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan alat yang mampu menjimatkan kos dalam menjalankan prosedur Intubasi Endotrakea iaitu proses memasukkan tiub bantuan pernafasan ke dalam rongga pernafasan pesakit yang tidak berupaya bernafas sendiri semasa pembiusan pesakit di Dewan Bedah.
Alat yang dikenali sebagai Head-Bun ini dikatakan lebih praktikal dan menepati waktu wajaran kurang daripada 8 saat sebagai produk sokongan kepala untuk menyelesaikan kelemahan Head Ring yang mudah pecah dalam tempoh ketahanan 6 bulan dengan menggunakan bahan yang diimport yang tempoh perolehannya lambat, tidak cukup tinggi untuk mengekalkan paten pernafasan pesakit, lilitan dalam kecil dan tidak mampu menyokong kedudukan oksiput dan tekstur jeli menjadi terlalu lembut apabila kerap digunakan semasa Intubasi Endotrakea pesakit di Dewan Bedah.
Head Bun yang mendapat pengiktirafan antarabangsa adalah hasil projek inovasi Kumpulan Lateral Hospital Universiti Sains Malaysia yang diketuai oleh ketua jururawat di Dewan Bedah, Hajah Norizan Jusoh, 51, yang telah bertugas dan berpengalaman selama lebih 28 tahun dalam prosedur ini.
Menurut Norizan, Intubasi Endotrakea merupakan prosedur paling penting dalam pembiusan pesakit kerana bekalan oksigen akan terputus tatkala prosedur ini dilakukan dengan waktu wajaran adalah kurang daripada 20 saat.
“Gangguan kelancaran semasa prosedur ini akan berlaku disebabkan oleh faktor anatomi pesakit, Head Ring, Laringoskop dan faktor-faktor lain yang boleh mendorong kepada ‘Hypoxemia, Cardiac Arrest, Hypoxic Brain Death dan Asistol,” jelas Norizan.
Menurutnya lagi, di Hospital USM kumpulannya berusaha mencari jalan secara kreatif dan inovatif untuk dilaksanakan di Bilik Bedah untuk menjamin keadaan pesakit yang stabil selepas pembedahan.
“Head-Bun merupakan ukuran lilitan yang menyokong kedudukan oksiput kepala dan ukuran ketinggian yang diperlukan untuk bukaan rongga pernafasan pesakit yang sesuai untuk semua atau ‘it’s fix, suitable for all’, tahan lama iaitu melebihi tempoh satu tahun dan membantu mempercepatkan prosedur Intubasi Endotrakea dari masa purata 12 saat kepada 8 saat sahaja serta menepati ciri-ciri keselamatan kerana saiz lilitan peralatan menepati keperluan anatomi kepala pesakit dan saiz ketinggian menepati keperluan pesakit.” tambahnya lagi.
Tempoh memperolehi material peralatan ini mengambil masa satu minggu berbanding Head-Ring yang memakan masa 6 bulan sehingga setahun bergantung kepada perolehan bajet, carian syarikat pembekal dan stok pembekal.
Sebelum projek ini dihasilkan, Hospital USM telah membelanjakan lebih RM13,000 setiap tahun untuk keperluan Head Ring dan kini hanya memerlukan sekitar RM400 setahun dengan menjimatkan perbelanjaan dengan penurunan kos lebih 97% dengan penggunaan Head-Bun semasa prosedur Intubasi Endotrakea dilakukan di Dewan Bedah.
Kumpulan Lateral ditubuhkan pada November 2011 yang dianggotai oleh seramai 10 orang ahli untuk meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih cemerlang bagi menjamin kesejahteraan pesakit yang terdiri daripada jururawat Dewan Bedah, Pakar Bedah Rekonstruktif Dan Pakar Bius Am.
Projek ini telah mendapat pengiktirafan dengan memenangi beberapa anugerah inovasi yang dipertandingkan antaranya, Anugerah Emas 2013 dalam Pertandingan Inovasi Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan dan Petronas 2013, Emas Tiga Bintang di Regional Convention On Team Excellence Wilayah Timur 2013 dan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Kampus Kesihatan. Ia juga mendapat 10 tempat teratas di peringkat kebangsaan pada tahun 2014 serta mewakili Malaysia ke Sri Lanka dengan mendapat pingat Emas pada tahun yang sama.
Teks Asal: Wan Azahar Wan Ahmad / Suntingan/Tulisan Semula: Mohamad Abdullah / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 1313