USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“DI SINI BERMULA SEGALANYA, SAYA SAYANGKAN USM” – ELIAS MOHAMAD

 
 DSC7643
PULAU PINANG, 26 MEI 2015 – “Di sinilah permulaan segala coretan hidup dan kerjaya saya sebagai staf Universiti Sains Malaysia (USM), bukan mudah untuk saya lupakan segala kenangan yang akan terpahat di hati buat selamanya, saya sayangkan USM.”
Itu yang mampu diungkap Elias Mohamad ketika ditemubual setelah 42 tahun menyumbang khidmat di Universiti Sains Malaysia seawal tahun 1973 dan kini menjawat sebagai Penolong Jurutera di Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), USM.
Elias, 60, yang bersara secara rasmi tanggal 26 Mei 2015 berkata beliau berasa cukup bertuah kerana menjadi antara staf terawal menjejakkan kaki sebagai warga kampus.
 DSC7658
“42 tahun cukup memberi banyak kenangan pahit manis bekerja apatah lagi berpeluang berurusan dengan semua peringkat staf, termasuklah pelajar sehingga ada di kalangan mereka bergelar pensyarah sekarang,” katanya sambil tersenyum.
Elias menambah apa yang paling bererti sepanjang perkhidmatan, beliau beruntung kerana berpeluang berkhidmat untuk Naib Canselor USM pertama pada masa itu, Prof. Tan Sri Datuk Hamzah Sendut sehinggalah Naib Canselor sekarang, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman.
“Berkhidmat untuk semua Naib Canselor merupakan pengalaman yang paling indah buat saya, kerana selain dapat memberikan perkhidmatan yang diinginkan, saya berpeluang mendekati mereka yang rata-rata semuanya cukup berdedikasi dan berkorban mengerah keringat bagi membangunkan universiti tercinta ini”
Ditanya saranan kepada staf muda kini, beliau yang menjejak kaki di USM seawal umur 19 tahun berharap agar staf sedia ada sentiasa berusaha menjadi staf yang berdedikasi dan berintegriti, berkebolehan serta berani mencuba yang baru.
“Staf sekarang untung kerana semua telah ada di depan mata, zaman dahulu saya dan rakan-rakan lain di bahagian teknikal perlu berusaha mempelajari teknologi yang ada, kerana pada masa itu teknologi berubah begitu mendadak dari semasa ke semasa”
“Bermula dengan era hitam putih, ke teknologi analog disusuli era digital dan sehingga kini berdefinisi tinggi (HD), semua itu saya belajar dan terus belajar bagi memberikan perkhidmatan terbaik buat universiti”.
 
 DSC7666
Tegas Elias, apa yang penting kemuafakatan dan semangat bekerja di dalam satu pasukan harus ada untuk semua staf demi memajukan universiti.
“Kita boleh duduk berbincang bersama untuk selesaikan apa jua masalah, memberi buah fikiran bagi memudahkan kerja sesama kita dan bertolenransi, jika itu dapat dilakukan pasti kejayaan menanti bukan sahaja individu tetapi organisasi itu sendiri”
Ujar Elias lagi yang mempunyai tiga orang anak dan lima orang cucu, beliau berharap selepas ini dapat melihat kejayaan demi kejayaan yang diperoleh USM agar kekal sebagai universiti terbaik di negara ini.
“Jika dilihat dari skop tugas, harapan saya moga suatu hari nanti saya dapat melihat USM mampu berkolaborasi dengan stesen-stesen televisyen dunia dan membawa mereka ke sini untuk bersama-sama menikmati kejayaan USM”
Elias sempat meluahkan perasaan beliau yang sedih untuk meninggalkan universiti setelah sekian lama menghabiskan masa melihat segala suka duka yang dialami di sini.
“Saya berasa cukup terharu dan sedih untuk meninggalkan USM, dengan rakan-rakan kerja yang baik dan sentiasa memberikan suntikan semangat dan suasana kerja yang harmoni, apapun setiap permulaan pasti ada pengakhiran”
“Be a fighter not a loser”  itu kata terakhir Elias sambil tersenyum sebelum menamatkan sesi temubual bersama beliau.
Teks/Foto : Mohd Azrul Mohd Azhar
  • Created on .
  • Hits: 1064

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024