USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAKAR BEDAH PLASTIK TERKEMUKA DUNIA AKUI PROGRAM SARJANA SURGERI PLASTIK USM BERTARAF TINGGI

QK4C0987

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Mei 2015 – Program Ijazah Lanjutan Sarjana Surgeri (Surgeri Plastik) yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) ternyata mampu melahirkan pakar-pakar bedah plastik yang berkaliber, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang surgeri plastik dan rekonstruktif.

Demikian pendapat Profesor Surajit Bhattacharya dari India dan Profesor Jeong Tae Kim dari Republik Korea, dua orang pakar bedah plastik dan rekonstruktif yang terulung di benua Asia malah di dunia yang berada di Kampus Kesihatan USM sebagai pemeriksa luar kepada 14 calon yang mengikuti program latihan tersebut.

“Saya dapati program ini telah dirancang dengan begitu sistematik dan berstruktur, malah latihan kepakaran yang perlu dijalani oleh setiap bakal pakar bedah plastik adalah amat menyeluruh untuk memastikan setiap seorangnya mempunyai pengetahuan teori yang meluas, serta kemahiran klinikal dan praktikal yang mantap dalam bidang berkaitan,” kata Surajit, yang mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang surgeri plastik, rekonstruktif dan mikrosurgeri, dan kini berkhidmat di Department of Plastic and Reconstructive Surgery, King George’s Medical College, Lucknow, India.

Katanya lagi, walaupun setiap calon terpaksa menghadapi pelbagai ujian penilaian dan peperiksaan yang getir dalam tempoh tiga hari berturut-turut mengikut keperluan program ini, namun saya dapati mereka tidak kelihatan gelisah sedikit pun malah mempamerkan keyakinan diri yang tinggi menunjukkan kurikulum dan latihan yang diikuti mereka telah melengkapi mereka dengan asas-asas yang kukuh dan menyediakan mereka untuk berdepan dengan ujian sedemikian.

QK4C1009

Sementara itu, Profesor dan Pengerusi Department of Plastic and Reconstructive Surgery, College of Medicine, Hanyang University, Seoul, Republik Korea, Jeong pula berkata, beliau kagum dengan prosedur peperiksaan program Sarjana Surgeri (Surgeri Plastik) ini yang membolehkan pemeriksa luar untuk mengadakan perjumpaan bersemuka dengan setiap calon dalam tempoh tiga hari agar dapat mengenali mereka dengan lebih dekat secara profesional, melihat kekuatan dan kelemahan setiap calon termasuk etika perubatan mereka serta menasihati mereka di mana perlu ada penambahbaikan.

“Pendek kata ia membolehkan kami memberi penilaian yang lebih jitu dan objektif kepada prestasi setiap calon agar dapat melahirkan pakar bedah surgeri plastik dan rekonstruktif yang benar-benar berwibawa yang mampu memberi rawatan terbaik dan optimum kepada pesakit,” kata Jeong yang juga pernah menjadi pakar perunding di St. Andrew’s Hospital, Chelmsford, UK dan University Medical Center Groningen di Groningen, Netherlands di sepanjang kariernya dalam bidang tersebut selama hampir 30 tahun.

Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, Program Sarjana Surgeri (Surgeri Plastik) USM ini adalah satu-satunya program ijazah lanjutan berteraskan latihan kepakaran dalam bidang surgeri plastik dan rekonstruktif yang terdapat di Malaysia.

“Program ini mendapat sokongan dan kerjasama penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan untuk melatih graduan perubatan menjadi pakar klinikal dalam bidang berkaitan bagi memenuhi keperluan negara yang memang kekurangan pakar bedah plastik yang bertauliah.

QK4C1027

“Bilangan pakar bedah plastik bertauliah di negara kita kini berjumlah hampir 40 orang, dan keadaan akan bertambah genting menjelang tahun 2020 apabila negara kita mencapai status negara maju dengan unjuran penduduk seramai 70 juta, negara berkehendakkan seramai sekurang-kurangnya 120 orang pakar pembedahan plastik,” tambah Sukari, yang pernah terlibat dalam misi kemanusiaan Mercy Malaysia-USM Projek Pembedahan Pesakit Bibir Sumbing dan Lelangit (CLIPP) di Bangladesh pada tahun 2010 lalu.

Selain menjadi pemeriksa luar program ini, Surajit dan Jeong juga dijemput mengendalikan Bengkel Penulisan Manuskrip (Dari Meja Editor) ketika berada di sini baru-baru ini.

Bengkel anjuran Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM dan Malaysian Society of Plastic and Reconstructive Surgery (MSPRS) telah menarik penyertaan hampir 70 orang pada hari pertama dan 40 orang pada hari kedua terdiri daripada doktor perubatan yang sedang mengikuti pengajian ijazah lanjutan dan juga pakar bedah plastik dari hospital-hospital kerajaan dan swasta seperti Hospital Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Hospital Kuala Lumpur, dan KPJ Johor Specialist Hospital.

11114356 10206681805948188 6652443367425208180 n

Surajit (Editor Indian Journal of Plastic Surgery) telah menghasilkan lebih 90 penerbitan dalam jurnal kebangsaan dan antarabangsa manakala Jeong (Editor Emeritus Archives of Plastic Surgery) telah menyumbang lebih 140 penerbitan dalam bidang praktisnya.

Turut hadir dalam bengkel ialah pensyarah dan pakar bedah plastik di Hospital USM, Dr. Wan Azman Wan Sulaiman dan Dr. Arman Zaharil Mat Saad. - Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 2270

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024