USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

REALISASIKAN SEGERA P.RAMLEE SEBAGAI IKON PERPADUAN NEGARA

pramlee1

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2015 - Realisasikan segera usaha memartabatkan P. Ramlee sebagai ikon perpaduan negara.

Demikian gesaan yang dibuat oleh seorang peserta Seminar P. Ramlee Ikon Perpaduan Kebangsaan, Antarabangsa dan Warisan Negara yang diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

"Semua orang termasuk ahli-ahli panel dalam seminar hari ini mengakui bahawa allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah ikon perpaduan negara yang berjasa besar melalui karya-karya seninya yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak termasuk dunia, tetapi jika tidak diusahakan betul-betul dan tanpa penglibatan kerajaan usaha ini tidak akan ke mana," kata peminat tegar Seniman P. Ramlee itu yang mendapat tepukan gemuruh kira-kira 200 orang yang menghadiri seminar tersebut.

Seorang lagi peserta pula mengingatkan bahawa Sambutan Hari Seniman yang kini dipersetujui disambut pada hari ulang tahun kelahiran seniman P. Ramlee juga tidak akan bermakna jika pihak kerajaan tidak mengambil serius tentang perkara ini apabila menterinya silih berganti.

"Dahulu sambutan Hari Seniman disambut meriah dengan pelbagai acara khas yang diadakan, namun kini sunyi sepi seolah-olah sambutan tersebut tiada maknanya lagi," kata peserta tersebut.

Sementara itu seniman Zulkifli Zain meminta pihak berkuasa menyemak semula rasionalnya menjadikan sebatang jalan di Kuala Lumpur sekarang atas nama seniman agung tersebut yang baginya sudah tidak sesuai kerana di sepanjang jalan tersebut menjadi tempat pelacuran dan menjual minuman keras.

pramlee3

"Saya fikir jalan yang ada sekarang memalukan dalam menghargai seorang seniman besar yang sepatutnya diberikan kepada tempat yang signifikan dengan beliau, misalnya lebuh raya yang menjadi tempat ulang alik P. Ramlee di Kuala Lumpur ke Studio Merdeka dan kawasan yang ada kaitan langsung dengan seniman agung itu," katanya yang juga disambut dengan tepukan gemuruh penonton.

Turut ditanyakan ialah sama ada P. Ramlee seorang pemikir memandangkan allahyarham dikatakan bukannya seorang yang berkelulusan akademik tinggi dan rajin membuat rujukan ilmiah termasuk bacaan.

Ahli akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang menjawab soalan tersebut berkata, seorang pemikir tidak semestinya mempunyai kelulusan akademik yang tinggi kerana mereka yang mendapat pencapaian akademik cemerlang selalunya melihat idea orang lain sebaliknya P. Ramlee adalah pengamat dan pemerhati sosial yang sensitif dengan apa yang berlaku dalam masyarakatnya.

Hal ini turut dipersetujui oleh ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Mahyuddin Ahmad, bahawa P. Ramlee sentiasa melihat apa yang berlaku dalam masyarakatnya dan secara kreatif mengadunkan dalam karya-karyanya, apatah lagi filem dan lagu adalah hasil kerja kolektif dari mereka yang bersama-samanya termasuk rakan-rakan karib allahyarham.

Menjawab soalan seorang anak muda keturunan Cina dari sebuah universiti swasta yang menghadiri seminar ini yang meminta agar usaha penyelidikan di universiti dipergiatkan untuk memastikan anak-anak muda sepertinya terus menghargai dan mencontohi P. Ramlee, Khoo Kay Kim berkata, kajian tentang P. Ramlee perlu dilihat dari aspek sejarah untuk memahami masyarakat apatah lagi sekarang ini banyak fakta tentang Melayu semakin dilupakan misalnya tidak ramai yang tahu bahawa Panglima Awang merupakan orang Melayu pertama mengelilingi dunia dan Mohd Zain Ariffin orang Melayu pertama yang mendapat ijazah dari Oxford University dan banyak lagi fakta lain yang semakin dilupakan.

Terdahulu, dalam ucapan semasa merasmikan seminar, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Azmi Abdul Aziz yang berucap mewakili Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berkata, usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam memartabatkan P. Ramlee sebagai ikon perpaduan kebangsaan, antarabangsa dan warisan negara penting dilihat untuk generasi masa hadapan dapat terus kekal mengenali dan menghargai warisan P. Ramlee seperti mana usaha kerajaan selama ini sesuai dengan sumbangan besar dan pencapaiannya selama ini.

"Kami menyeru agar orang ramai atau pihak-pihak yang masih mempunyai khazanah peninggalan Allahyarham dapat menyerahkan kepada Arkib Negara agar terus kekal dan untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Peranan Seniman dalam Perpaduan Negara

Sementara itu, Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Tan Sri Dato' Seri Mohd Yussof Latiff yang menjadi penganjur seminar ini berkata, seniman mempunyai peranan penting dalam proses perpaduan negara yang kebelakangan ini agak tercalar oleh perjuangan politik perkauman yang dangkal.

Seminar ini turut dianjurkan oleh Gabungan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Pulau Pinang (GABUNGAN) diadakan sempena Ulang Tahun Kelahiran P. Ramlee ke-86 dengan kerjasama Jabatan Arkib Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Malaysia yang disokong serta ditaja oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

pramlee5

"P. Ramlee menggunakan medium filem, lakonan, lagu dan muzik untuk menyatakan kepentingan perpaduan secara bijak, bukan dibuat-buat yang seharusnya menjadi tanda aras dalam menggunakan seni hiburan dalam usaha perpaduan kaum apatah lagi dengan kejayaan P. Ramlee dan karya-karyanya mendapat tempat di hati pelbagai kaum yang masih menjadi ikon perpaduan, maka usaha perlu terus dibuat untuk menobatkan P. Ramlee sebagai ikon perpaduan kebangsaan, antarabangsa dan warisan negara," katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan para peserta seminar tentang saranan Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman untuk memartabatkan P. Ramlee sebagai warisan negara serta saranan untuk mewujudkan kluster penyelidikan P. Ramlee oleh Dato' Seri Profesor Md. Salleh Yaapar semasa seminar yang diadakan bulan lalu di USM Pulau Pinang kerana melalui usaha sedemikian termasuk kerja-kerja penyelidikan terhadap karya-karyanya, sumbangan P. Ramlee akan hidup subur di hati masyarakat dan terus menjadi ikon perpaduan yang unggul.

P. Ramlee Tokoh Serba Boleh Diiktiraf Dunia

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang juga peminat utama P. Ramlee Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam ucap utamanya menyifatkan P. Ramlee mempunyai pelbagai bakat besar yang diiktiraf dunia dan bersetuju dengan saranan untuk menjadikannya sebagai ikon perpaduan kebangsaan dan antarabangsa serta sebagai warisan negara.

"Saya juga amat bersetuju agar sambutan Hari Seniman diadakan pada hari ulang tahun kelahiran P. Ramlee iaitu pada 23 Mei setiap tahun," katanya.

Katanya lagi, P. Ramlee sentiasa jujur dalam pengolahan seluruh aspek kehidupan manusia melalui karya seninya yang mendapat pengiktirafan sepanjang zaman termasuk dalam seni kata lagu-lagu ciptaannya yang bagi P. Ramlee, ia tidak harus dipandang ringan kerana keupayaannya meninggalkan kesan ke atas sanubari pendengar serta mampu merangsang semangat cintakan tanah air serta bekerja keras.

P. Ramlee Angkat Isu Perpaduan

Sementara itu, dalam Forum yang dipengerusikan oleh ahli akademik USM Profesor Dr. Sohaimi Abdul Aziz yang disertai oleh tokoh akademik dan ahli sejarah terkemuka Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, guru Dr V. Saravanan dan ahli akademik USM Dr. Mahyuddin Ahmad mengungkapkan bagaimana karya-karya P. Ramlee telah berjaya mengangkat isu perpaduan, budaya dan sejarah tanah air dari kaca mata semasa seolah-olah untuk memberitahu rakyat tentang bagaimanakah bentuk budaya masyarakat yang seharusnya wujud dan kekal di negara ini serta pentingnya untuk anak-anak muda hari ini memahami sejarah sebagai latar belakang budaya yang ada.

"Filem-filem P. Ramlee sentiasa kaya dengan aspek kepelbagaian budaya yang sepatutnya generasi muda digalakkan menonton untuk memperkasakan proses pendidikan sebagai gambaran jelas tentang masyarakat, negara dan diri sendiri terutamanya apabila ramai yang menganggap sejarah tidak lagi penting sedangkan untuk melihat masa hadapan kita perlu terlebih dahulu meIihat kepada masa lalu," kata Khoo Kay Kim.

Manakala V. Saravanan melihat filem-filem P. Ramlee sebagai wahana perpaduan rakyat negara ini yang mirip kepada realiti sebenar masyarakat kita dalam proses menerima dan menolak yang sepatutnya berlaku secara semulajadi.

pramlee2

"Pemilihan watak-wataknya sangat berkesan yang secara bijak juga sesetengahnya menunjukkan proses akultrasi Melayu yang selalu ingin mendekati sesuatu kumpulan masyarakat dengan mendekati bahasa dan budayanya walau pun secara jenaka melalui tingkah laku bahasa yang kelihatan mengalah untuk mendekatkan diri dengan orang lain sebagai satu proses komunikasi yang sangat berkesan di samping gambaran semangat kejiranan dan tegur menegur dalam kalangan pelbagai kaum yang secara jelas membuktikan P. Ramlee bukan sahaja ikon malah menjadi duta perpaduan negara," kata Saravanan.

Beliau berpendapat, kerana itu masyarakat pelbagai kaum sentiasa menerima karya-karyanya yang mengajak kita bermuhasabah diri dengan mengangkat watak orang-orang kecil untuk menegur bangsa yang diterima dengan terbuka termasuk oleh mereka yang ditegur.

Mahyuddin pula memberitahu, beliau mula tertarik dengan karya-karya P. Ramlee apabila mendapati peminatnya yang merentasi kaum dan masa yang memperkatakan tentang realiti masyarakat negara, malah oleh orang luar termasuk dalam hal-hal kepelbagaian kaum yang tidak banyak menarik minat karyawan negara.

"Walaupun tidak banyak karyanya yang menyentuh secara langsung hal perhubungan kaum, namun usaha yang dilakukan dalam dua buah filemnya perlu dipuji kerana keberaniannya mengetengahkan perhubungan yang merentasi kelas dan kaum di negara ini," kata Mahyuddin.

Menurutnya lagi walaupun gambaran yang ditunjukkan adalah perhubungan kaum yang ideal yang berupaya dibentuk dengan fantasi kaum berdasarkan indeks modernisasi yang berlaku malah masih mengekalkan sesuatu kaum yang dominan dan khusus namun kritikan terhadap norma budaya dan cara hidup moden dan kesan negatif kepada moderniti mewakili nilai dan budaya yang ada dilakukannya dengan bijak.

"Sebenarnya proses ikonisasi P. Ramlee telah berlaku sejak kematiannya dengan mengetengahkan nilai kecintaan dan kemanusiaan yang universal," tambahnya lagi. - Teks/Foto: Mohamad Abdullah, Siti Naquiah Abdillah dan Muhammad Firdaus

  • Created on .
  • Hits: 4807

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024