USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERPUSTAKAAN BERGERAK PERTAMA UNTUK PESAKIT KANAK-KANAK

KUBANG KERIAN, 21 Mei 2015 - Perpustakaan bergerak merupakan perkhidmatan penting sebagai wadah ilmu kepada masyarakat. Untuk mendekatkan buku dengan orang ramai khususnya pesakit, Perpustakaan Hamdan Tahir, Kampus Kesihatan Univerisiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Hospital USM mengambil inisiatif merangka program Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak (Mobile Library).

Menurut Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM, Dr Mohamad Rosdi Abdul Rahman, ini merupakan perpustakaan bergerak pertama diwujudkan di hospital seluruh Malaysia yang mula memberi perkhidmatan sejak 21 April 2013 di tiga Wad Pediatrik iaitu 6 Selatan, 6 Utara dan 2 Selatan.

"Sehingga Januari 2015, sebanyak 9,337 transaksi pinjaman buku oleh pesakit pediatrik dan peneman-peneman telah direkodkan sepanjang aktiviti ini dijalankan pada setiap hari Ahad setiap minggu yang diharapkan membantu mengurangkan tekanan dalam diri pesakit dengan penyakit yang dihidapinya selain menerima perubahan baru untuk mengisi masa terluang dengan aktiviti membaca," katanya ketika merasmikan Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak di Ruang Legar Tingkat Enam, Hospital USM hari ini.

Tambahnya, perpustakaan bergerak ini juga bertujuan memupuk minat membaca dan menghargai ilmu dalam kalangan kanak-kanak sejak di peringkat awal lagi bak kata pepatah 'melentur buluh biar dari rebungnya.

"Pepatah ini memberi pesanan kepada kita supaya memberi didikan dan tunjuk ajar yang baik sejak dari awal lagi supaya perkara tersebut berterusan sehingga dewasa di samping menggalakkan pembaca cilik membaca tanpa mengira keadaan mereka, sama ada sihat ataupun sakit serta lebih seronok  berada di wad sepanjang hari bagi menjalani rawatan terutama apabila peneman membacakan cerita-cerita yang menarik untuk mereka yang juga mampu mengubat kesakitan dan kesunyian yang dialami mereka," jelas Mohamad Rosdi.

Perkhidmatan yang dijalankan secara percuma dan sukarela ini membantu golongan terkebawah yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat luar bandar dalam mengurangkan jurang ilmu dan maklumat dalam kalangan masyarakat hasil daripada ledakan teknologi maklumat yang sentiasa berkembang pesat.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Hamdan Tahir Kampus Kesihatan USM Engku Razifah Engku Chik, Ketua Penolong Pengarah Klinikal Hospital USM Dr Tengku Mastura Tengku Mohd, pakar-pakar Pediatrik serta pengurusan tertinggi Unit Kejururawatan Hospital USM. - Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Mohd Shukri

  • Created on .
  • Hits: 1281

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024