USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MANFAAT PELUANG KERJASAMA DENGAN REPUBLIK CZECH

IMG 0134ghk
PULAU PINANG, 21 Mei 2015  - Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas kolaborasi antarabangsa dengan negara Eropah yang terkenal dengan kekuatan bidang kejuruteraannya, Republik Czech melalui beberapa cabang ilmu tertentu yang menjadi fokus utama Universiti.
 
Selain kejuruteraan, tiga bidang utama lain yang dikenalpasti menjadi tunjang kepada kolaborasi dengan universiti di negara bersejarah itu adalah perubatan molekul, nano-optoelectronik dan sains semulajadi.
IMG 0144j
 
IMG 0131as
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, kedua-dua pihak telah membuahkan pelbagai idea kolaborasi yang akan disusuli ke peringkat seterusnya melalui penglibatan pelbagai pihak.
 
``Kolaborasi akan menjurus secara spesifik kepada pusat-pusat pengajian dalam USM dan pengurusan tertinggi Universiti akan memberi sepenuh komitmen untuk menjayakan segala kerjasama yang dibuat.
 
``Ia termasuk dalam aspek membangunkan penyelidikan secara bersama, pertukaran staf akademik dan pelajar, pembangunan program-program akademik dan pelbagai bidang lain yang mempunyai manfaat kedua-dua pihak,’’ ujarnya.
 
IMG 0148hj
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sidang media sejurus tamat sesi pembentangan dan perbincangan kolaborasi sempena lawatan khas delegasi Republik Czech yang diketuai oleh Duta Republik Czech di Malaysia, His Excellency Rudolf Hykl di sini hari ini.
 
Perbincangan intensif tersebut melibatkan delegasi tujuh universiti awam negara berkenaan, antaranya universiti tertua dan tersohor, Charles University, Palacky University Olomouc, Technical University of Liberec dan sebagainya.
IMG 0152vhj
 
Sesi yang membuahkan pelbagai idea dalam pengukuhan jaringan antarabangsa itu turut disertai oleh timbalan-timbalan naib canselor serta ketua-ketua jabatan USM dan rektor serta timbalan rektor universiti awam Republik Czech.
 
Dalam pada itu, Rudolf Hykl pula berkata, pihaknya kagum dengan pencapaian USM dan menyifatkan universiti kedua tertua di Malaysia itu bukan sahaja mempunyai reputasi tinggi di peringkat serantau, malah di arena antarabangsa.
 
``Saya melihat ada banyak persamaan yang boleh diteroka untuk manfaat bersama khususnya dalam bidang pendidikan dan kemajuan teknikal yang menjadi fokus utama kerajaan dan universiti-universiti di Malaysia.
IMG 0168fgj
 
``Republic Czech mempunyai kekuatan dalam bidang-bidang seperti teknologi nano, perubatan, sains kimia, biokimia dan pelbagai lagi yang boleh diperkembangkan melalui kolaborasi dengan USM dan pihak lain di negara ini,’’ ujar beliau. - Teks: Marziana Mohd Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa
  • Created on .
  • Hits: 956

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024