USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KARYA SASTERA TRADISIONAL AKAN TERUS DIPERKASAKAN, TEGAS MD. SALLEH YAAPAR

 DSC7402 

PULAU PINANG, 20 MEI 2015 – Karya-karya sastera tradisional warisan Melayu sejak zaman-berzaman yang dimiliki akan terus diperkasakan demi kesinambungan generasi muda memahami makna jati diri dan semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air.

Karya-karya sastera tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka serta karya prosa tradisional seperti sastera rakyat, mitos, legenda dan epik menjadi khazanah yang perlu dibanggakan seterusnya diperkasakan untuk pendedahan kepada generasi muda kini.

 DSC7425

Penyelaras Operasi Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar berkata, keunikan khazanah yang dimiliki perlu didedahkan kepada generasi muda tentang budaya, pemikiran, sikap dan nilai yang diamalkan dalam masyarakat zaman dahulu.

“Fungsi mendidik dalam karya sastera selain bertujuan membentuk sahsiah diri ialah ia juga mampu menyemai naluri keinsanan dalam diri seseorang sekaligus memberi ruang kepada generasi muda terutamanya pelajar memahami makna jati diri”

Bercakap ketika merasmikan majlis penutup Sayembara Penyampaian Puisi Tradisional Kanak-Kanak 2015 peringkat negeri Pulau Pinang, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka menambah sayembara ini diharap mampu dianggap sebagai projek rintis bagi melihat sejauh mana bakat dan kemampuan kanak-kanak dalam bidang penyampaian puisi tradisional.

 DSC7434

 DSC7440

“Saya yakin kita mampu melahirkan insan di masa hadapan yang berkebolehan dan menakjubkan sekiranya usaha-usaha seperti ini diperkasakan dari semasa ke semasa”

Beliau turut sempat menyampaikan hadiah buat pemenang-pemenang bagi kategori utama iaitu Syair, Gurindam dan Nazam.

Turut hadir ke majlis adalah Pengarah Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USM, Dr. Nazarudin Zainun, mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Yang Mulia Raja Shamsudin Raja Saleh, dan Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, Norimah Bajuri.

 DSC7449

Sejumlah 51 orang pelajar dari lebih 19 buah sekolah sekitar Pulau Pinang telah terlibat di dalam pertandingan ini berumur di antara 10 sehingga 12 tahun.

Program ini merupakan anjuran Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2, Pulau Pinang. Teks dan Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1143

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024