USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANTU PEMANDU BANGUNKAN CPI

 DSC7045tyu

PULAU PINANG, 19 Mei 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan kerjasama dengan Performance Management & Delivery Unit (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri untuk mewujudkan Indikator Persepsi Jenayah atau Crime Perception Indicator (CPI) melalui perjanjian persefahaman yang ditandatangani di sini hari ini.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, kerjasama penyelidikan ini akan membolehkan kepakaran yang ada di sini dapat digunakan dengan sebaik mungkin dalam membantu kerajaan dalam mewujudkan  indikator tersebut sekaligus mengharapkan dapat bersama-sama memainkan peranan dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang sejahtera merentasi apa jua perbezaan yang ada terutamanya yang berkaitan dengan jenayah.

 DSC7056

"USM sudah lama terlibat dalam usaha ini dan mengharapkan dapat terus membantu apa sahaja yang boleh melalui usaha-usaha akademik dan saintifik," kata Omar.

Sementara itu, Pengarah MKRA Pengurangan Jenayah PEMANDU, Dato' Dr. Amin Khan berkata, input akademik penting dalam memastikan bukan sahaja indeks jenayah berkurangan tetapi juga membentuk persepsi yang betul terhadap pengurangan yang berlaku.

"USM telah bekerjasama dengan PEMANDU sejak lima tahun dahulu dengan kejayaan menunjukkan pengurangan jenayah kira-kira 40% dan ini perlu diteruskan dengan pembinaan CPI yang dapat meningkatkan keyakinan dan persepsi sebenar kepada masyarakat yang walau pun secara umumnya sedar yang kadar jenayah sudah berkurangan tetapi mempunyai pandangan dan persepsi yang berbeza dalam aspek keselamatan masyarakat," kata Amin Khan.

Jelasnya usaha mewujudkan indikator persepsi ini tidak bermakna tumpuan terhadap pengurangan jenayah sebenar berkurang, sebaliknya ia perlu dilakukan seiringan kerana pengurangan persepsi juga penting dalam memastikan masyarakat dan orang ramai  mempunyai perasaan selamat dari segi mentalnya.

 DSC7061vffh

Sementara itu, pakar kriminologi USM, Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata usaha membangunkan indikator persepsi dan mengubah persepsi orang ramai terhadap jenayah adalah cabaran besar termasuk untuk memastikan orang ramai mempunyai sikap dan tindakan yang betul terhadap keselamatan dan jenayah.

Hadir sama menyaksikan penandatangan persefahaman tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Profesor Madya Dr. Nor Malina Malek dan pegawai-pegawai kanan PEMANDU. - Teks: Mohamad bin Abdullah​

  • Created on .
  • Hits: 1195

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024