USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR DR. ABD KARIM PERKASA PENDIDIKAN ATAS TALIAN

ABD KARIM ALIAS

Beliau adalah profesor dalam bidang Teknologi Makanan di Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM). Namun Profesor Dr. Abd Karim Alias, 53, kini lebih banyak terlibat dalam memperkasa pendidikan atas talian, apatah lagi setelah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) USM.

Baginya beliau sentiasa didorong oleh keyakinan yang pendidikan terbuka atau ‘open access education’ berupaya untuk berkongsi ilmu dengan mereka di seluruh dunia yang akan memberi faedah kepada ramai orang sebagai bekalan seseorang ilmuan dan masyarakat ke akhirat kelak.

Menariknya, baru-baru ini Abd Karim tersenarai dalam kalangan 50 orang Berpengaruh dalam Pendidikan di Asia Pasifik (Top 50 Influencers in Education – Asia Pacific) oleh sebuah laman sesawang (http://bit.ly/1JrB6ij) yang meletakkan hanya dua orang dari Malaysia. Mereka dikatakan antara yang melakarkan lanskap pendidikan yang menginspirasikan perubahan, menggerakkan reformasi dalam pendidikan dan melakukan inovasi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran hari ini.

“Saya terkejut namun bersyukur dengan pengiktirafan ini dan rasa terhormat tetapi pada masa yang sama teruja kerana usaha saya dalam pendidikan terbuka atas talian kini dapat dilihat sebagai satu amalan baharu dalam proses pendidikan,” kata Abd Karim ditanya tentang perasaannya.

Tambah ahli akademik yang berasal dari Kampung Pasang Api, Bagan Datoh, Perak ini lagi, penglibatan secara aktif dalam pendidikan komuniti pelajar dan komuniti yang mengamalkan pembelajaran terbuka ini memberi peluang untuk lebih menerokai usaha ini yang menjadi minat dan 'passion' dalam pengajaran dan pembelajaran yang mampu membawa kepada perubahan dan tentunya melihat jauh ke hadapan untuk berbuat demikian dalam melihat perkembangan baharu dalam pendidikan khususnya pendidikan tinggi.

“Saya percaya kepada falsafah dan amalan pendidikan terbuka yang berteraskan kepada ‘sharing is caring’ dengan berkongsi sumber pengajaran secara atas talian secara percuma, contohnya dengan memuat naik slaid pengajaran dalam Slideshare yang membolehkan ramai orang mengikutinya secara percuma, malah saya turut memuat naik rakaman syarahan kuliah yang kini berjumlah lebih dari 100 kuliah melalui YouTube yang ditonton setakat ini oleh lebih 300,000 tontonan yang jumlah masa tontonan kini melebihi satu tahun yang diikuti oleh mereka yang berada di lebih 190 buah negara di dunia dengan memberi faedah kepada pelajar dan staf Teknologi Makanan di mana sahaja mereka berada,” kata Abd Karim.

Pada masa ini, beliau turut terlibat membantu Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan agenda Massive Open Online Courses (MOOC) di samping sama-sama terlibat dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi dengan fokus kepada Pendidikan Global Atas Talian serta membantu Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) sebagai jurulatih utama dalam pelbagai program latihan yang diadakan.

“Saya turut terlibat sebagai jurulatih untuk pembelajaran peningkatan teknologi kerana sangat percaya hanya dengan menggunakan teknologi akan dapat memberikan nilai tambah dalam penyampaian pengajaran dan kursus yang diusahakan melalui banyak program latihan yang diberikan kepada warga USM mahu pun orang ramai yang berminat termasuk pihak swasta di samping memberikan ucap utama yang berkaitan dengan masa hadapan pembelajaran dan pendidikan tinggi,” tambah Abd Karim lagi.

Berpegang kepada hidup yang sederhana, Abd Karim percaya bahawa prinsip utama seorang yang berilmu mestilah bersikap rendah diri dan menghormati orang lain.

“Dalam kerja, tidak ada pencapaian besar yang dapat dicapai tanpa minat mendalam atau ‘enthusiasm’ dan tentunya yang utama ialah didorong oleh keyakinan bahawa seseorang pendidik hebat perlu berpegang kepada hakikat yang seseorang guru berupaya untuk melakukan perubahan atau ‘teacher can make a difference’ yang saya berusaha kongsikan dengan rakan-rakan pensyarah di universiti,” tegasnya lagi.

Abd Karim menyertai USM pada tahun 1994 dengan memberi syarahan dalam bidang Sains Makanan dan Teknologi Makanan yang berusaha untuk menjadi seorang pensyarah dan penyelidik yang berjaya. Minat mendalam, komitmen dan kreativiti adalah gambaran sebenar beliau sebagai seorang guru dan pensyarah.

“Saya juga percaya bahawa kerjaya guru dan pensyarah adalah satu kembara ilmu yang menarik untuk diterokai bersama oleh pensyarah bersama-sama pelajarnya,” kata Abd Karim.

Beliau juga berjaya menghasilkan lebih 130 kertas penyelidikan hasil dari penglibatan aktif dalam pelbagai kerja penyelidikan dan inovasi termasuk yang dikategori sebagai berindeks tinggi di samping menyelia ramai pelajar ijazah tinggi. - Teks: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 1065

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024