USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AMALAN QE/5S MAMPU BAWA UNIVERSITI LEBIH CEMERLANG

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Mei – Amalan QE/5S dan penerapan nilai kualiti yang berasas piawai antarabangsa mampu membawa universiti lebih cemerlang.

Hal ini dinyatakan semasa Taklimat Kesedaran QE/5S oleh Pustakawan Kanan, Pn Rugayah Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Audit QE/5S Kampus Kesihatan kepada para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan yang diadakan pada pagi ini di Desasiswa Murni dihadiri kira-kira 120 orang pelajar bertujuan melibatkan seluruh warga USM dalam gerakan kualiti.

Menurut Rugayah, amalan QE/5S di USM Kampus Kesihatan telah melalui fasa yang keempat bagi tahun 2015 yang telah dipraktikkan sejak tahun 2011.

“Ada empat asas yang perlu palajar tahu iaitu mengenai kefahaman, penghayatan, pelaksanaan dan pemantauan untuk mengamalkan amalan QE/5S ini dengan memahami serta memberi penghayatan dalam membudayakan amalan ini sebagai aktiviti harian, selain itu kerjasama semua pihak dalam menjayakan amalan QE/5S yang selama ini melayakkan USM mendapat pengiktirafan melalui pensijilan amalan QE/5S oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)," kata Rugayah.     

“Amalan 5S mempunyai prinsip asas yang perlu diamalkan oleh setiap sub zon. Antara prinsip asas itu ialah sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal akan membolehkan seluruh organisasi menghasilkan produktiviti yang tinggi dalam kerja dengan kualiti yang berkekalan,” katanya.

Menurut Rugayah lagi, dengan mengamalkan amalan tersebut akan ada penurunan kos untuk peralatan dan penghantaran mengenai aktiviti dengan tepat. Amalan ini juga memberikan persekitaran tempat kerja menjadi lebih bersih, kemas, tersusun rapi dan menjadi lebih selamat.

“Konsep amalan 5S mudah difahami oleh setiap anggota kerana perkara ini hanya memerlukan pengetahuan konvensional dan disiplin serta komitmen yang tinggi yang boleh dilaksanakan dalam semua organisasi dengan memupuk semangat kerja berpasukan, disiplin diri dan dapat meningkatkan  rasa tanggungjawab serta sayang kepada organisasi,” katanya.

"Amalan 5S juga dapat mewujudkan persekitaran kerja yang produktif, bersih dan selamat yang bertaraf dunia melalui komitmen yang berterusan daripada pihak pengurusan serta penglibatan semua warga kampus sebagai tunjang kepada kejayaan pelaksanaan amalan 5S," jelasnya lagi. - Teks: Mohamad Iqmal Mathlan

  • Created on .
  • Hits: 1051

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024