USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EKSPO KEUSAHAWAN MEDAN PRAKTIKAL PELAJAR

NIBONG TEBAL, 5 Mei 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menggalakkan pelajar menceburi bidang keusahawanan dengan menganjurkan Ekspo Keusahawanan sebagai medan praktikal pelajar yang mengikuti kursus Teras Keusahawanan (WUS 101). 

Program ini dapat memberikan pendedahan kepada pelajar untuk mempraktikkan segala asas keusahawan yang telah dipelajari oleh mereka seperti di dalam membuat urusan pembelian dari pembekal, teknik penjualan dan teknik menjalankan sesuatu perniagaan.

Menurut Pengerusi Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan,  Dr. Asrulnizam Abd Manaf, ekspo tersebut dilaksanakan selaras dengan inspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ingin melahirkan graduan yang mempunyai asas-asas keusahawanan.

Sementara itu, Dr. Md. Sayuti Ishak selaku salah seorang tenaga pengajar WUS 101 berkata,  Ekspo Keusahawanan ini merupakan salah satu elemen penilaian kepada para pelajar yang mengambil kursus tersebut.

“Kursus ini merupakan kursus universiti dan menjadi keperluan untuk setiap pelajar dalam memenuhi tuntutan pengijazahan.

“Selain daripada memberi tumpuan terhadap pekerjaan profesional mengikut jurusan masing-masing, para pelajar juga perlu bijak dan kreatif untuk mencari peluang perniagaan menggunakan pengetahuan keusahawanan yang telah dipelajari,” kata Sayuti. 

”Setiap kumpulan terdiri daripada empat hingga enam orang pelajar yang terdiri daripada berlainan kaum dan pusat pengajian dan ini memberi peluang kepada para mahasiswa untuk mengenali pelajar dari pusat pengajian yang lain serta mewujudkan semangat perpaduan dan sikap bekerjasama,” tambah Md Sayuti.

“Bidang keusahawanan sangat luas untuk diterokai pelajar dan ia memerlukan keberanian yang pastinya mendatangkan keuntungan yang lumayan, sekiranya pelajar bersungguh-sungguh dan berada di landasan yang betul,” ujar Md Sayuti lagi.

Pada kali ini, seramai 485 pelajar tahun satu terlibat dalam penganjuran ekspo ini dan sebanyak 83 buah gerai dibuka dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan dan buat pertama kali perkhidmatan seperti percetakan baju, mencuci kereta dan ada juga yang menjual kraftangan yang dihasilkan oleh pelajar sendiri disediakan dengan harga yang berpatutan.   

Ekspo Keusahawanan ini telah diadakan pada 28 hingga 29 April 2015 di Pusat Pembangunan Mahasiswa, Kampus Kejuruteraan, USM  dan turut disertao oleh BP Diagnostic Centre, Cawangan Parit Buntar yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Selain itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak dan Timbalan PendaftarKampus Kejuruteraan, Anuar Ibrahim serta beberapa pegawai universiti  turut meluangkan masa melawat setiap gerai dan beramah mesra bersama mahasiswa pada hari kedua program berlangsung. - Teks: Dr. Asrulnizam Abd Manaf & Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin

  • Created on .
  • Hits: 1185

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024