USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JUARA PERTANDINGAN KUIZ FARMASI KEBANGSAAN ANJURAN MYPSA

kuiz 1

PULAU PINANG, 4 Mei 2015 - Pelajar Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) meraih kemenangan dalam pertandingan Kuiz Farmasi Peringkat Kebangsaan kali ke-7 anjuran Malaysian Pharmacy Students' Association (MyPSA). 

Dalam pertandingan yang berlangsung pada 1 – 3  Mei 2015 di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), pasukan USM menghantar dua pasukan untuk penyertaan kali ini dengan setiap pasukan terdiri daripada lima orang pelajar. 

Pasukan USM telah bergelar juara dengan mata terkumpul sebanyak 91 markah meninggalkan pencabar terdekat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) A di tempat kedua dan IIUM B di tempat ketiga. 

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman menyambut baik kemenangan ini dan mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat. 

kuiz 2

"Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dan tentunya USM menyokong usaha seperti ini kerana penyertaan pelajar dalam pelbagai aktiviti termasuk acara ini amat penting dalam membentuk kebolehan dan kemampuan mereka untuk  menghadapi persaingan dan masa hadapan," kata Omar. 

Pasukan USM menerima hadiah penyertaan terbaik menerusi Cik Ao Ran yang memperolehi markah tertinggi dalam kalangan mereka yang menyertai pertandingan ini. 

Pensyarah PPSF, Dr. Hassaan A. Rathore yang mengetuai pasukan USM berkata, beliau berbangga dengan pasukan USM yang menyertai pertandingan kali ini yang disifatkannya mempunyai minda seorang pemimpin. 

"Semua keputusan yang dibuat pasukan USM sepanjang pertandingan memberi gambaran kepada penyelarasan dan tanggungjawab berkumpulan, justeru kesungguhan yang ditunjukkan ini serta kebolehan berfikir secara cepat di dalam keadaan tertekan dan kesuntukan masa menunjukkan kualiti dan kepimpinan pasukan ini menggapai kejayaan buat kali ini," kata Hassaan. 

Tambahnya lagi, sikap positif dan kebolehan pasukan USM menjadi inspirasi dan dihargai oleh kesemua pasukan yang bertanding. 

kuiz 3

Sebanyak 21 pasukan menyertai pertandingan kali ini melibatkan 12 buah universiti awam dan juga swasta. 

Pertandingan ini diadakan untuk mewujudkan jaringan yang luas dan hubungan rapat antara semua pelajar jurusan Sains Farmasi di seluruh institusi pengajian tinggi di Malaysia. 

Turut hadir di majlis penutup dan majlis penyampaian hadiah ialah Timbalan Dekan Fakulti Farmasi CUCMS Dr. Zainol Akbar Zainal, yang mewakili Dekan Fakulti Farmasi CUCMS. - Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ehsan dari Dr. Hassaan A. Rathore, PP Sains Farmasi USM

  • Created on .
  • Hits: 1365

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024