USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MALAM PUISI UNTUK TYT YANG DI-PERTUA NEGERI PP

PULAU PINANG, 2 Mei 2015 - Gema Puisi membelah suasana malam Universiti Sains Malaysia (USM) dengan menyaksikan tokoh masyarakat dan penyair berkongsi pentas meluahkan genta rasa melalui persembahan deklamasi puisi, di Kompleks Cahaya Siswa, di sini.

Malam Puisi Sepasang Permata di Pulau Mutiara Ketiga yang diadakan sempena pelantikan semula TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) dan USM.

Selain Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan dan penyair tanah air, tokoh-tokoh bahasa dan ahli akademik turut mendeklamasikan puisi yang dimulakan dengan alunan gurindam dua belas oleh saudari Erny Fariny binti Saad dengan iringan gitar Idris Bin Man hasil karya Raja Ali Haji yang menyentuh kalbu yang mendapat tepukan gemuruh para penonton.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas turut menyampaikan sebuah puisi yang memberi makna yang mendalam dalam suasana menyambut ketibaan Ramadhan berjudul “Aku Rindu Padamu”.

Antara mereka yang mendeklamasikan puisi ialah Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dato’ Wira Profesor A. Latif Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Dato’ Seri Dr. Haji Md. Salleh Yaapar dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dato’ Seri Yussof Latiff di samping lagu puisi oleh Ahmad Ramli.

Turut menyerikan acara tersebut ialah barisan-barisan pelapis penyair muda dari Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang Tarmizi bin Osman, Siti Sara binti Bakar dan Nadilah binti Suhaimi yang merupakan juara deklamasi puisi kebangsaan 2014.

Hadir sama ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff dan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan isteri Datin Noraizan Jamaluddin. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah

  • Created on .
  • Hits: 1558

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024