USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

"COLOURS OF MALAYSIA" TONJOL KEPELBAGAIAN BUDAYA NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA

 DSC5906

PULAU PINANG, 27 April 2015 - "Colours Of Malaysia" berjaya menonjolkan kepelbagaian budaya etnik negeri-negeri di Malaysia di samping mencungkil bakat para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dalam kesenian dan kebudayaan.

Berucap merasmikan malam "Colours Of Malaysia" yang dianjurkan oleh Majlis Penghuni Desasiswa Tekun (MPDT) di Dewan Kuliah U, USM semalam, Penolong Penggawa MPDT, Dr. Sharifah Mashita Binti Syed Mohamad berkata, ini adalah usaha pelajar memartabatkan kembali keistimewaan kebudayaan Malaysia.

 DSC5874

 DSC5888

"Colours Of Malaysia” adalah projek yang julung kali diadakan oleh MPDT yang memfokuskan kepada aktiviti kesenian dan kebudayaan melalui pertandingan rampaian tarian tradisional dan kreatif antara setiap persatuan anak-anak negeri di USM untuk memartabatkan kembali keistimewaan kebudayaan negeri di Malaysia.

Dua kategori persembahan dipertandingkan iaitu Pertandingan Kebudayaan antara IKMAR, PERSIS dan PERKASA serta Nyanyian Tradisional/Etnik Kreatif.

Bagi kategori Pertandingan Kebudayaan antara IKMAR, PERSIS dan PERKASA, busana terbaik dimenangi oleh Ikatan Mahasiswa/Mahasiswi Johor (IKMAR), manakala bagi kategori persembahan paling kreatif pula dimenangi oleh Perkumpulan Anak-Anak Sarawak (PERKASA) dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM200.00 dan piala pusingan.

 DSC5899

 DSC5897

Malam tersebut juga menobatkan Perkumpulan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS) untuk kategori persembahan terbaik yang membawa pulang hadiah wang tunai RM200.00 dan piala pusingan.

Turut diadakan ialah Pertandingan Nyanyian Tradisional/ Etnik Kreatif yang menobatkan saudari Noor Azirah Binti Jais, pelajar dari Pusat Pengajian Pengurusan sebagai juara, diikuti tempat kedua dimenangi oleh Syaza Aqilah Sulaiman, yang juga dari Pusat Pengajian Pengurusan, manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh  Nur Zawani Iryani Binti Sarifuddin dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan.

 DSC5911

 DSC5913

Mengulas mengenai persembahan peserta pada malam tersebut, wakil juri yang juga Artis Budaya (Tarian) Dewan Budaya USM, Norazizah Rusli mengatakan bahawa para peserta memberikan komitmen yang tinggi walaupun ketika hari kuliah namun terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan oleh mereka.

"Sebenarnya untuk memasuki sesuatu pertandingan mahu pun persembahan, apa yang penting ialah persediaan rapi dari segi latihan dan pemilihan lagu yang bertepatan dengan suara selain keyakinan ketika berada di atas pentas," kata Norazizah.

Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa Tekun, saudara Muhammad Imran Shah Bin Yacob, menzahirkan rasa syukurnya kerana program tersebut mendapat sambutan yang sangat baik daripada para pelajar.

 DSC5890

 DSC5922

"Alhamdulillah, sambutan penonton sangat baik, semua tiket habis dijual dan tempat duduk penuh dengan penonton, tentunya hasil kerja keras sekretariat “Colours of Malaysia” melaksanakan projek ini serta penghargaan juga kepada persatuan anak negeri yang memberikan kerjasama untuk menyertai program di samping semua yang hadir menyokong program kami ini.

"Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Naib Canselor USM yang sudi menaja Piala Pusingan “Colours of Malaysia” yang akan dijadikan acara tahunan untuk setiap persatuan anak negeri menonjolkan keunikan negeri-negeri di Malaysia," tambahnya lagi. 

Muhammad Imran Shah turut berharap agar program melestarikan kebudayaan seperti ini dapat diteruskan dan mendapat sokongan semua pihak. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim​

  • Created on .
  • Hits: 2115

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024