USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DELEGASI UNIMAS KUNJUNGI KAMPUS KESIHATAN USM

IMG 9849

KUBANG KERIAN, 27 April 2015 - Seramai 24 orang pegawai kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datu Dr Hatta Solhi dan Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Mohamad Kadim Suaidi mengadakan kunjungan rasmi ke Kampus Kesihatan USM hari ini.

Ketibaan mereka di Dewan Persidangan Kampus Kesihatan USM disambut oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM Profesor Dato' Dr Mafauzy Mohamed berserta pegawai-pegawai kanan USM.

IMG 9878

Turut sama dalam kunjungan ini ialah  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Kopli Bujang, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim dan Bendahari Tuan Haji Mazlan Kiflie.

Di dalam ucapan alu-aluannya Mafauzy berkata, USM berbesar hati menyambut delegasi UNIMAS ke USM Kampus Kesihatan untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang sudah terjalin di antara kedua-dua universiti.

"Adalah diharapkan melalui perkongsian maklumat yang ada di USM Kampus Kesihatan dapat dijadikan penanda aras kepada UNIMAS yang berharap untuk mempelajari sistem pentadbiran Hospital USM memandangkan UNIMAS juga akan menubuhkan sebuah hospital pengajar," kata Mafauzy.

IMG 9902

Naib Canselor UNIMAS dalam ucapannya berharap agar hasil perkongsian maklumat mengenai struktur dan tadbir urus Hospital USM boleh menjadi tanda aras untuk menubuhkan sebuah hospital pengajar di Sarawak.

"Hospital USM adalah salah sebuah hospital pengajar terbaik dan pihak kami ingin menjadikannya sebagai mentor dalam merealisasikan penubuhan hospital pengajar yang menawarkan pengajaran kesihatan dan perkhidmatan kepada masyarakat di Sarawak,” tambah Mohamad Kadim.

Delegasi UNIMAS kemudiannya dibawa melawat Pusat Kemahiran Klinikal Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dengan mengikuti taklimat oleh penyelarasnya Dr Abdul Nawfar Sadagatullah tentang fungsi unit berkenaan.

IMG 9888

IMG 9892

IMG 9921

Mereka juga dibawa melawat poliklinik Usains yang menawarkan perkhidmatan perubatan eksekutif yang bernaung di bawah USM dan kemudiannya ke Pusat Trauma dan Kecemasan Hospital USM dengan diberikan taklimat oleh Ketua Jabatannya iaitu Dr. Abu Yazid Mohd Noh. - Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto Wan Ahmad Nizamuddin

  • Created on .
  • Hits: 1289

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024