USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH KEJURUTERAAN USM MENANG GERAN ANUGERAH MERDEKA 2019

CDH 7312 edited

PULAU PINANG, 28 November 2019 – Pensyarah muda Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Yanny Marliana Hj. Baba Ismail telah memenangi Geran Anugerah Merdeka 2019 untuk sangkutan antarabangsa (international attachment) dengan menerima geran berjumlah RM55,000 pada akhir Julai lalu.

Geran yang dianugerahkan ini memberi peluang kepada Yanny untuk melakukan penyelidikan beliau dengan lebih mendalam lagi dalam menghasilkan ‘smart material’ terutamanya dalam memahami tindakbalas antara sel-sel sekitar tulang (surrounding bone cells) dengan 'smart material' yang dihasilkan dalam mempercepatkan pertumbuhan semula tulang baru. 

Menurut Yanny, ‘smart material’ ini bukan sahaja diformulasikan seakan-akan sama dengan komposisi tulang manusia malah direkabentuk untuk menyerupai struktur sebenar tulang manusia. 

CDH 7327 edited

Lebih menarik lagi, komposisi dan struktur 'smart material' ini dijangka dapat mempercepatkan proses pertumbuhan semula tulang pesakit yang rosak akibat kemalangan dan dalam masa yang sama akan melarut (resorb) dalam kadar yang hampir sama dengan pertumbuhan semula tulang baru secara semulajadi. Dengan ini, tiada lagi bendasing di dalam badan pesakit serta dapat meneruskan kehidupan harian seperti biasa. 

Beliau akan menjalankan kajian ini bersama rakan penyelidik beliau di Nottingham Trent University, United Kingdom selama lebih kurang tiga bulan pada tahun 2020.

“Memandangkan ’smart material’ ini dibuat sepenuhnya di Malaysia, ianya dijangka dapat mengurangkan kos yang dikenakan kepada pesakit dalam merawat masalah tulang. Selama ini jutaan ringgit telah diperuntukkan untuk mendapatkan khidmat kepakaran serta alatan, ubat-ubatan dan produk perubatan dari luar negara. 

"Saya berharap hasil penyelidikan dalam pembuatan 'smart material' ini dapat memberikan keputusan positif dan menjadi titik permulaan untuk kita menginovasikan sendiri produk buatan Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan,” kata Yanny.

Yanny, 33, merupakan alumni kepada Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral dan baru tiga tahun berkhidmat dengan USM setelah tamat pengajian Doktor Falsafah dari Keele University, UK dalam bidang Kejuruteraan Biomedik. 

Semasa masih bergelar pelajar kedoktoran lagi, beliau  telah aktif melibatkan diri dalam kerja-kerja kolaborasi dengan universiti-universiti tempatan di UK iaitu Newcastle University, University of Cambridge, York University dan juga University of Aberdeen.

CDH 7357 edited

Ini telah sedikit sebanyak memberi pendedahan awal kepada beliau dalam bekerja secara berkolaborasi dengan kumpulan penyelidik luar selain rakan sekuliah di Keele University.

“Setelah lebih kurang sebulan menghantar penyertaan, saya telah dihubungi oleh pihak Petronas dan dimaklumkan dipilih sebagai antara 21 calon penerima anugerah yang telah berjaya disenaraipendek untuk proses temuduga daripada beribu penyertaan yang diterima dari seluruh Malaysia.

“Seminggu sebelum temuduga dijalankan di Menara Petronas, pihak Petronas telah mengadakan ‘pitching workshop’ buat pertama kalinya pada tahun ini bagi memberikan pendedahan kepada para peserta tentang teknik terbaik untuk ‘pitch’ mengenai projek yang bakal dijalankan,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangannya menerima Geran Anugerah Merdeka, Yanny sangat teruja dan bersyukur apabila dipilih sebagai antara lima penerima anugerah tersebut.

Geran Anugerah Merdeka bertujuan untuk membantu para penyelidik muda yang berpotensi untuk mencipta inovasi serta memupuk budaya kecemerlangan dalam penyelidikan. 

Selain itu, geran yang berprestij ini memberi peluang kepada penyelidik-penyelidik muda di bawah umur 35 tahun untuk melebarkan sayap mereka dalam membina kolaborasi antarabangsa bersama universiti-universiti ternama di dunia. 

Mulai 2019, Geran Anugerah Merdeka diadakan dua tahun sekali bergantian dengan Anugerah Merdeka yang sebelum ini diadakan setiap tahun.  

CDH 7349 edited

Sultan Perak Darul Ridzuan selaku Penaung DiRaja Geran Anugerah Merdeka ini iaitu Yang Teramat Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah berkenan menyampaikan geran ini pada kesemua lima pemenang Geran Anugerah Merdeka 2019 pada 16 Ogos 2019. 

Setakat ini, seramai 14 penyelidik muda seluruh Malaysia telah dipilih untuk anugerah ini dan sehingga kini, 11 daripada mereka telah menyelesaikan program sangkutan antarabangsa mereka. Geran Anugerah Merdeka ini telah ditubuhkan oleh tiga pengasas iaitu Petronas, Shell dan ExxonMobil Malaysia. 

Teks: Nor Rafizah Md Zain dan Dr. Yanny Marliana Hj. Baba Ismail/Foto: Mohamad Zaidi Jaini

  • Created on .
  • Hits: 981

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024