HARI AKADEMIA HARGAI JASA DAN SUMBANGAN AHLI AKADEMIK NEGARA

7A5AA7D0 72F8 4F82 9133 EFA67E6C151E
USM PULAU PINANG, 5 Oktober 2019 – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menghargai jasa dan sumbangan warga akademik di pelbagai peringkat pengajian lepasan sekolah termasuk
institut pendidikan tinggi (IPT), tarikh 5 Oktober telah diiktiraf sebagai Hari Akademia bermula tahun ini.

Tidak ketinggalan untuk turut menyambut hari bersejarah itu khususnya bagi warga akademia di Universiti Sains Malaysia (USM), Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran USM (PKAPUSM) mengambil inisiatif untuk julung kalinya menanam 25 anak pokok buah-buahan di sekitar kampus.

BDF4647E 758D 43C2 A7A5 CC8BDB01A1FA

Penanaman bermula di sekitar bangunan Jabatan Keselamatan dan berakhir di sekitar Tasik Harapan, dan ia melibatkan seramai 30 staf akademik dan pentadbiran USM serta ahli keluarga mereka,

Presiden PKAPUSM, Professor Madya Dato' Dr. P. Sundramoorthy, yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan USM, berkata program ini sejajar dengan hebahan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengiktiraf tarikh 5 Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Akademia dan bulan Oktober sebagai Bulan Akademia peringkat kebangsaan.

“Saya dan pastinya rakan-rakan akademik lain di USM dan universiti lain di seluruh negara amat gembira dengan pengisytiharan tarikh itu kerana akhirnya pihak kerajaan menerusi KPM telah mewujudkan satu hari khas bagi menghargai jasa, sumbangan dan pengorbanan pensyarah negara ini.

“Anak pokok buah-buahan yang ditanam itu secara simbolik diibaratkan sebagai tenaga pendidik muda (pensyarah) yang baru memasuki dunia akademia, yang mana mereka akan diberi bimbingan dan dorongan sewajarnya serta digilap bakat dan kemahirannya sehingga menjadi ahli akademik bertaraf dunia demi kelangsungan universiti kelak,” jelasnya.

Tambah Sundramoorthy, “Selain berbekalkan ilmu pengetahuan, saya juga berharap ekosistem yang sedia ada di Universiti akan membolehkan mereka membina karakter dan peribadi yang kukuh serta menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh integriti dan beretika.”

“Aktiviti ini juga sehaluan dengan penekanan yang diberikan oleh pihak universiti dalam mengekalkan suasana kehijauan sekitar dalam kampus USM yang sering dikenali juga sebagai The University in A Garden,” katanya ketika ditemui selepas selesainya penanaman pokok pertama.

Mengikut statistik yang dikemaskini sehingga 30 September 2019, USM mempunyai sejumlah 2,305 orang staf akademik, dengan pecahannya seperti berikut: 246 Profesor, 368 Profesor Madya, 1,280 Pensyarah Kanan, 159 Pensyarah, 114 Guru Bahasa, 72 Felo Pasca Doktoral dan 66 Pensyarah Kunjungan.

Seperti staf akademik di IPT lain seluruh negara malah di dunia, staf akademik di USM mempunyai skop kerja yang merangkumi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, penerbitan, penyeliaan pelajar ijazah pertama dan ijazah tinggi, khidmat perundingan, pengurusan geran dalaman dan luar, libatsama industri dan komuniti, perkhidmatan kepada masyarakat luar, pentadbiran universiti, pengiktirafan akademik dan sebagainya.

Bersempena bulan Oktober diisytihar sebagai Bulan Akademia, pihak KPM telah mengadakan pelbagai program wacana dan intelektual sepanjang bulan itu yang mana kemuncaknya ialah berlangsungnya majlis Anugerah Akademik Negara iaitu anugerah tertinggi dalam menghargai peranan dan sumbangan penting staf akademik di negara kita.

Difahamkan Malaysia merupakan negara pertama mengadakan hari khusus bagi menghargai sumbangan komuniti akademia, yang dianggarkan seramai hampir 70,000 tenaga pengajar IPT termasuk pusat latihan, kolej komuniti, kolej matrikukasi dan politeknik.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015