APAMT 2019 JADI PLATFORM DISKUSI TOPIK TOKSIKOLOGI

aamt

PUTRAJAYA, 6 November 2019 - Selaras dengan perkembangan semasa dan isu-isu berkaitan toksikologi yang berlaku di serata dunia, penganjuran 18th Annual Scientific Congress of Asia Pacific Association of Medical Toxicology (APAMT) 2019 dilihat sebagai platform yang signifikan bagi perkongsian pengalaman, perkembangan dan isu-isu yang berkait dengan toksikologi.

Isu pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Johor juga adalah antara topik yang hangat dibincangkan khususnya dalam melihat prosedur standard yang diaplikasikan bagi menangani isu tersebut yang disifatkan sebagai antara pencemaran kimia terburuk pernah berlaku di negara ini.

apamt22

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, APAMT adalah platform terbaik bagi memberi gambaran terkini, trend akan datang serta cabaran dalam bidang toksikologi perubatan terutamanya di rantau Asia Pasifik yang mana Malaysia, seperti negara-negara lain tidak terkecuali menghadapi isu-isu berkenaan dengannya.

"KKM telah bekerjasama dengan pelbagai agensi yang berkaitan dalam menangani isu-isu toksikologi daripada keracunan akibat pendedahan jangka pendek bahan kimia (acute) kepada jangka panjang (kronik) melibatkan penyalahgunaan dadah, tembakau, nikotin dan sebagainya.

"Semua agensi berkaitan telah menyumbangkan kepakaran masing-masing dalam mengoptimumkan pengurusan insiden keracunan dan cabaran-cabarannya dan pihak KKM memberi sokongan padu ke arah memantapkan lagi usaha-usaha sedia ada melalui perkongsian maklumat seperti yang dilihat dalam penganjuran APAMT ini," ujarnya.

PicsArt 11 07 07.44.53

Dzulkefly berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian APAMT 2019 yang dianjurkan secara bersama oleh Pusat Racun Negara (PRN) USM, Asia Pacific Association of Medical Toxicology, College of Emergency Physician, Academy of Medicine Malaysia dan Malaysian Society on Toxinology.

APAMT 2019 disertai oleh lebih 250 peserta dalam kalangan pakar dan ahli toksikologi, pakar klinikal, pakar rujuk racun dan penyelidik dari 27 negara dari lima benua dunia termasuk Australia, India, Perancis, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Norway, United Kingdom, Sri Lanka dan sebagainya.

apamt1

Dalam pada itu, Pengarah PRN, Profesor Dato' Dr. Mohamad Isa Abdul Majid pula berkata, sepanjang 25 tahun penubuhan PRN, pihaknya telah memberi sumbangan yang signifikan dalam membantu negara menangani cabaran bidang toksikologi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur APAMT berkata, antara inisiatif yang dilakukan PRN adalah menyediakan perkhidmatan maklumat ubat dan racun untuk membantu profesional perubatan dalam mengendalikan kes keracunan setiap hari serta menguruskan aktiviti toksikovigilens.

Malah ujar beliau, PRN turut menyokong dan melaksanakan inisiatif program promosi kesihatan dalam bidang keselamatan kimia, penyalahgunaan dadah, advokasi inisiatif kawalan tembakau dan membantu dalam analisis toksikologi khusus.

PicsArt 11 07 09.23.17

"Dalam pengurusan bencana pencemaran kimia di Sungai Kim Kim misalnya, melalui kepakaran dan analisis, kita telah berjaya menangani kes berkenaan dengan efisien khususnya dalam mengenalpasti bahan kimia yang terdedah serta kaedah rawatan yang sesuai yang perlu dilakukan.

"Ia secara tidak langsung dapat menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko perebakan dengan lebih meluas sehingga membawa kepada kes-kes yang tidak diingini," katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias 

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015