USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EMPAT SAINTIS USM RANGKUL ANUGERAH MRSA, LIMA JURNAL TERIMA TARAF CREME

MRSA

PUTRAJAYA, 5 November 2019 - Empat saintis Universiti Sains Malaysia (USM) menyerlahkan kredibiliti masing-masing apabila terpilih menerima anugerah berprestij Malaysia's Research Star Award (MRSA) dalam majlis khas di sini hari ini. 

Keempat-empat penerima memenangi kategori Highly Cited Researcher 2018 yang mana Profesor Datuk Dr. Abdul Khalil H.P. Shawkataly (Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan Universiti) mengungguli kategori Elsevier/Scopus (International Research Collaboration) dan tiga lagi anugerah oleh Clarivate Analytics masing-masing kepada Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Abd Karim Alias (Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik) dan Profesor Ir. Dr. Abdul Latif Ahmad (Pengarah Nexus Kejuruteraan).

Selain MRSA, lima jurnal terbitan USM turut mengungguli senarai penerima pengiktirafan taraf Creme dan mengekalkan kejayaan berulang sejak anugerah ini diperkenalkan.
 
Jurnal-jurnal berkenaan adalah Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society untuk kategori Web of Science manakala kategori Scopus adalah Malaysian Journal of Medical Sciences, International Journal of Asia-Pacific Studies, Asian Academy of Management Journal of Accounting and Finance dan Asian Academy of Management Journal.
 
Hadir menerima anugerah ialah Ketua-ketua Editor jurnal termasuk Profesor Dato' Dr. Rosihan M. Ali, Profesor Dato' Dr. Jafri Malin Abdullah, Profesor Dato' Ruhani Ali, Profesor Madya Dr. Zamri Ahmad dan Dr. Grace V.S. Chin (wakil).
 
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Mohd Ghazali Abas hadir mewakili Menteri Pendidikan Malaysia menyampaikan anugerah-anugerah kepada para pemenang. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi KPM, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.
 
Anugerah MRSA ini adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada penyelidik tempatan hasil kejayaan penghasilan penyelidikan dan penulisan ilmiah berkualiti yang berjaya diterbitkan serta diindeks ke dalam pangkalan data antarabangsa terkemuka.
 
Dalam pada itu, Program Pemberian Taraf CREME  yang diperkenalkan JPT KPM adalah sebagai insentif bagi menggalakkan penulisan dan penerbitan hasil penyelidikan sarjana tempatan dalam jurnal yang berwibawa, berpengaruh dan terkemuka di persada antarabangsa. 

Ia juga adalah pengiktirafan berbentuk pemberian Skim Galakan Penerbitan kepada jurnal tempatan hasil daripada aktiviti penyelidikan semasa dan bermatlamat dalam memperkasakan jurnal tempatan agar dapat diindeks dalam pangkalan data jurnal antarabangsa seperti WoS atau Scopus, selain memastikan jurnal yang sudah diindeks kekal berada di dalam pangkalan data serta meningkatkan impak sitasinya.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

 

 
  • Created on .
  • Hits: 1060

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024