USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAINTIS BIDANG BIOPLASTIK DAN KANSER TERIMA ANUGERAH AKADEMIK NEGARA KE-13

aan2

A1

PULAU PINANG, 30 Oktober 2019 – Dua orang saintis dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjalankan kajian dalam bidang Bioplastik dan Kanser menerima anugerah tertinggi dalam kalangan ahli akademik iaitu Anugerah Akademik Negara ke-13 yang berlangsung baru-baru ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri Profesor Datuk Dr. Abdul Khalil HP Shawkataly menerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains) manakala pensyarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) Profesor Madya Dr. Oon Chern Ein menerima Anugerah Ahli Akademik Harapan.

Chern Ein adalah graduan kedoktoran dari Universiti Oxford United Kingdom dalam bidang Onkologi Perubatan dan beliau pernah memenangi pelbagai anugerah kebangsaan dan antarabangsa termasuk Anugerah Saintis Muda Asia Tenggara EXIQON dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Anugerah Penyelidikan Kanser MAKNA, L’Oreal-UNESCO for Women in Science National Fellowship, Women of the Future – South East Asia (UK) dan juga Anugerah Ketokohan Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2018.

“Walaupun dulu saya bercita-cita menjadi seorang pereka fesyen, namun minat yang mendalam kepada bidang sains telah menjadikan saya seorang saintis dengan visi untuk menggunakan kepakaran saya bagi memupuk minat kepada bidang sains untuk rakyat Malaysia,” kata Chern Ein.

“Penghasilan Bioplastik atau Biopolimer menggunakan rumpai laut yang mudah terurai dan diperbaharui mampu untuk melestarikan alam sekitar dengan penggunaan bahan mentah daripada bahan semulajadi,” kata Abdul Khalil yang telah berkhidmat selama 28 tahun di USM dan telah menyelia lebih 50 orang pascasiswazah (sarjana dan kedoktoran) serta 10 orang felo pasca doctoral.

IMG 0343

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 250 jurnal saintifik antarabangsa (Scopus/ISI Indeks) dengan H-indeks 40 (jumlah sitasi >7000), menerbitkan tiga buah buku akademik, 50 bab buku antarabangsa dan empat buah buku bukan akademik.

Beliau juga memenangi pelbagai anugerah lain termasuk Anugerah Terjemahan Negara dalam kategori Sains dan Teknikal, Malaysia’s Rising Star Award, Malaysia’s Research Star Award dan Top Research Scientist Malaysia (TRSM) (2014-2018) oleh Akademi Sains Malaysia.

Abdul Khalil juga adalah Felo di Institute of Materials, Minerals and Mining (FIMMM), United Kingdom dan panel penasihat Pusat Sitasi Malaysia (2014-2018), Panel World Class Professor Universitas Syiah Kuala, Aceh (2018-2019), Penasihat Penyelidikan dan Akademik di Universitas Sulawesi Barat, Indonesia.

“Wawasan saya adalah untuk kelestarian bahan mentah daripada bahan semulajadi dan penggunaan sisa pertanian secara keseluruhan,” kata Abdul Khalil yang berpegang kepada moto ‘Get Out from the Comfort Zone, Co-learn, Perform and Succeed’.

Kedua-dua saintis ini menerima wang tunai berjumlah RM50,000, sijil dan trofi setiap seorang bersama enam lagi ahli akademik yang menerima anugerah dalam kategori masing-masing.

Pada majlis yang sama, ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid telah menerima Anugerah Tokoh Akademik Negara dan menerima wang tunai RM200,000, trofi dan sijil.

aan3

Anugerah telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teo Nie Ching yang mewakili Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

AAN yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, KPM bertujuan memberikan sanjungan dan pengiktirafan tertinggi kepada para sarjana di Institut Pendidikan Tinggi Malaysia yang telah banyak memberikan sumbangan dalam bidang pemindahan dan pengembangan ilmu pada peringkat kebangsaan dan global.

AAN mula diperkenalkan pada tahun 2006, dan pengiktirafan ini juga merupakan manifestasi keprihatinan dan komitmen KPM dalam memartabatkan pendidikan tinggi Malaysia.

Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa  



  • Created on .
  • Hits: 1876

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024