IMPACT 2019 PERKENAL PERTANDINGAN IKLAN BERCETAK

poster impact  

USM, PULAU PINANG – Immersion Project, Appreciation, and Tribute 2019 atau IMPACT 2019 memperkenalkan satu pertandingan baharu iaitu pertandingan iklan bercetak bagi menarik lebih banyak penyertaan berbanding tahun lalu.

Pertandingan ini adalah antara lapan pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) Universiti Sains Malaysia (USM) sempena program tahunan pelajar tahun akhir, IMPACT 2019.

Antara pertandingan lain ialah pertandingan penulisan rencana, fotografi, pengucapan awam, video pendek, kempen terbaik, majalah universiti terbaik dan akhbar universiti terbaik.

poster apps

Menurut Pengerusi Rancangan Prasiswazah PPK USM dan juga Penasihat Utama IMPACT 2019, Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh, IMPACT 2019 turut memperkenalkan aplikasi mobil untuk pengguna telefon pintar android bagi mendapatkan maklumat terkini tentang pertandingan dan mendaftar penyertaan.

“Pertandingan IMPACT 2019 yang memasuki tahun keempat penganjurannya sejak 2016 sememangnya unik dan menarik kerana bukan sahaja penyertaannya dari pelbagai universiti di luar Malaysia namun juri-juri yang terlibat juga merupakan mereka yang sememangnya berpengalaman dalam industri media dari Malaysia dan Indonesia,” tambah Mohamad Saifudin. 

“Saya mewakil pihak PPK USM merakamkan jutaan terima kasih kepada para penaja khususnya penaja utama iaitu Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi penganjuran program IMPACT 2019 yang bertemakan “Fun and Funkiness”,” tambahnya lagi. 

Antara ketua juri yang terlibat dalam pertandingan IMPACT 2019 adalah wartawan Harian Metro dan penulis lirik terkemuka, Rudy Imran, Ketua Editor Waspada Online Medan Indonesia, Austin Tumengkol, Pengarah Kreatif Pos Malaysia Suffian Rahman, Penerbit Fast Motion Sdn. Bhd., Norazlan Bidin dan Editor Majalah Jelita, Anida Salwani serta pelbagai nama besar dalam industri media lainnya yang turut membarisi meja penjurian tahun ini.

austin

“Pertandingan IMPACT amat diperlukan bagi membuka peluang untuk pelajar-pelajar mencabar diri, membuktikan kemampuan dan kemahiran mereka di samping memperoleh pengalaman berharga memandangkan kurangnya pertandingan berasaskan Komunikasi yang dianjurkan pada peringkat antarabangsa,” kata Austin.

“Malah dari perspektif Indonesia, saya turut berbangga menjadi salah seorang juri dan berpendapat IMPACT dan USM sebagai entiti yang penting untuk pelajar-pelajar Indonesia kerana ianya memberikan kredibiliti kepada mereka selain membuka ruang kolaborasi yang baik antara universiti dan kolej di Indonesia dan Malaysia.

“Saya berharap para peserta pada tahun ini lebih berdaya saing dan memanfaatkan peluang yang ada untuk saling mengenali antara satu sama lain dan berdiskusi,” tambahnya.

Selain itu, salah seorang peserta pengucapan awam iaitu Saundary Vijayakumar, pelajar tahun pertama dari PPK USM berkata pengalaman pertamanya dalam menyertai pertandingan ini sebagai satu pengalaman berharga dan mengujakan kerana melalui pertandingan ini beliau dapat mengasah dan mengembangkan bakat ke peringkat antarabangsa.

Saundary yang mendapat galakan padu dari pelbagai pihak khususnya kedua ibu bapanya menyatakan bahawa beliau telahpun memulakan persediaan rapi untuk pertandingan pengucapan awam yang akan berlangsung secara langsung kelak termasuklah menonton video-video pidato dan berlatih gaya dan nada yang bersesuaian.

Tambah Saundary lagi, beliau amat berharap pertandingan IMPACT sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan generasi pelajar Komunikasi yang hebat.

Menerusi rekod yang lepas, terdapat lebih dari 150 penyertaan telah diterima pada tahun 2018 dan majoritinya adalah peserta dari universiti-universiti Malaysia dan Indonesia. Pertandingan yang paling banyak menerima penyertaan adalah pertandingan video pendek, pengucapan awam, penulisan rencana dan fotografi.

Untuk maklumat lanjut tentang pertandingan IMPACT 2019, bolehlah lawati laman sesawang rasmi IMPACT 2019 iaitu https://impactusm2019.wixsite.com/impactusm2019 atau hubungi Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh di talian 04-6534199 atau menerusi emel beliau iaitu This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Teks Suntingan: Nor Rafizah Md Zain / Teks Asal dan Foto: Pusat Pengajian Komunikasi 

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015