USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KONSERT ORKESTRA TRADISIONAL PAMER KEUNIKAN GABUNGAN PELBAGAI GENRE MUZIK ASLI DAN WARISAN

budaya1

PULAU PINANG, 21 Oktober 2019 – Hujan lebat sebelum bermulanya konsert tidak menghalang warga kampus untuk menikmati persembahan mantap dalam “Konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya bersama Hael Husaini” yang dibawakan khas ke Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Konsert yang diadakan khusus bersempena sambutan ulang tahun USM yang ke-50 itu adalah anjuran bersama Dewan Budaya USM dengan kerjasama Istana Budaya (Kuala Lumpur).

budaya5

budaya4

Konsert yang menggabungkan tarikan penampilan penyanyi pop sensasi yang pernah menjuarai Juara Lagu, Hael Husaini dan para penyanyi ‘in-house’ USM itu telah membuktikan seni orkestra masih setanding dengan muzik-muzik lain dengan alunan irama yang digubah dengan rentak semasa.

Menurut Pengurus Produksi OTM, Andy Siti Nurhidayah Rahim, keunikan kumpulan OTM ini adalah dari segi gabungan alat muzik tradisional daripada pelbagai budaya dan bangsa di tanah air kita.

budaya6

Tambah beliau, turut menyertai persembahan dengan orkestra ini ialah kumpulan etnik kontemporari Sada Borneo yang juga merupakan alumni USM serta pelajar dan staf USM.

“Konsert ini bertujuan untuk mendedahkan kepada semua lapisan masyarakat keunikan dan estetika muzik tradisional dengan susunan lagu popular Malaysia yang diberikan nafas baru dan digabungkan dengan elemen tradisional.

budaya3

“Konsert ini diharapkan dapat memberikan persembahan istimewa kepada para penonton di samping dapat meraikan warisan dan tradisi rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, konsert yang berlangsung hampir dua jam itu membariskan persembahan mantap lagu-lagu popular seperti Anta Permana, medley Nirmala dan Balqis, Pandang-Pandang Jeling-Jeling, Kurik Kundi, Lelaki Ini dan pelbagai lagi.

budaya2

Hael Husaini turut memukau penonton dengan dendangan lima buah lagu termasuk Hajat, Haram, Feeling Good, Pematah Hati dan Jampi, sebelum kesemua penyanyi bergabung dengan dendangan Joget sebelum tirai OTM dilabuh.

Konsert hebat pada malam itu juga turut diserikan dengan elemen ‘kejutan’ apabila Hael turut berpadu suara dengan Nabila Razali yang popular dengan jolokan ‘cumi-cumi’ menerusi lagu ciptaan Hael sendiri, Pematah Hati. Nabila juga ialah alumni USM dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP).

Teks: Marziana Mohamed Alias Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1460

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024