USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WAY FOONG TERIMA ANUGERAH L’OREAL-UNESCO UNTUK WANITA DALAM SAINS

74235579 2592053510855666 6483765127773421568 n

KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2019 – Saintis wanita, Dr. Lim Way Foong dari Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR) Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah L’Oreal-UNESCO For Women in Science – Malaysia National Young Talents Programme 2019 yang diumumkan di sini hari ini. 

“Saya sangat teruja dan terkejut apabila dihubungi pihak L’Oreal dan dimaklumkan sebagai salah seorang penerima geran tersebut,” kata Way Foong.

Way Foong, 35, menjalankan kajian dan penyelidikan dalam LED yang bertajuk “VioLEDs - Healthy Artificial Lighting’ menerima geran sebanyak RM30,000 untuk meneruskan kajian dalam bidang tersebut serta membantu komuniti.

“Anugerah ini adalah satu platform untuk para saintis wanita menonjolkan bakat dalam bidang sains serta satu motivasi untuk terus menjalankan kajian dan penyelidikan di samping membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan komuniti di dalam dan di luar negara,” tambah Way Foong yang baru setahun menjadi pensyarah di USM.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, "USM akan terus menjadi pusat pertemuan akademia, persekitaran subur yang membolehkan percambahan benih inovasi dan kecemerlangan berlaku sehingga mencapai kematangan.”

"Pencapaian Way Foong, sebagaimana diiktiraf melalui penerimaan anugerah ini, merupakan bukti sokongan dan komitmen berterusan USM. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mantan Naib Canselor kerana ini adalah sebahagian daripada hasil komitmen kepimpinan terdahulu," katanya.

Anugerah berprestij berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), YB Isnaraissah Munirah Majilis.

Way Foong adalah salah seorang penerima anugerah daripada tiga penerima anugerah yang turut menyaksikan sejumlah 193 saingan dari penyelidik wanita seluruh negara.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain



  • Created on .
  • Hits: 1137

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024