USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

3,000 PESERTA SERTAI LARIAN PEACE ROAD SOKONG KEAMANAN SEJAGAT

PRUN1

USM PULAU PINANG, 13 Oktober 2019 - Seramai 3,000 orang peserta larian membanjiri Padang Minden Universiti Sains Malaysia (USM) sejak subuh lagi bagi memeriahkan program Peace Road Charity Run Penang 2019.

Bertemakan "One Nation One Heart", program anjuran bersama Universal Peace Federation Malaysia (UPFM), Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) USM dan Persatuan Kebajikan Asas Pulau Pinang (PKAPP) itu berjaya menarik penyertaan peserta dalam kalangan warga kampus dan juga masyarakat luar kampus yang berbilang kaum dan peringkat umur.

Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Soon Lip Chee berkata, program sebegini wajar diperbanyakkan kerana ia boleh mengumpulkan semua bangsa bagi menyokong isu berkaitan kedamaian dan keharmonian sejagat.

PRUN2

"Penganjuran program amal seperti ini dapat memberi kesedaran kepada semua bahawa keamananan melalui perhubungan antara masyarakat berbilang kaum amat penting dan tunjang kepada keharmonian negara keseluruhannya," katanya ketika hadir merasmikan program tersebut dan sekaligus melepaskan peserta larian di Padang Minden, USM.

Soon turut berharap program ini juga mampu membangkitkan solidariti bagi pembangunan keamananan dan kelestarian dunia sekaligus menjadi contoh kepada negara lain memperjuangkan nilai keamanan sejagat.

"Saya menggesa selain usaha meningkatkan sumbangan derma untuk golongan kurang berkemampuan, diharap ia mendorong semangat ikhlas berkhidmat kepada komuniti tanpa ada diskriminasi jantina, bangsa, agama dan ideologi politik," jelasnya lagi.

Yang turut hadir adalah Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi mewakili Naib Canselor USM, Prof. Madya Dr. Ahmad Munir Che Muhamed; Penaung Peace Road Charity Run Penang 2019, Dato' Shahul Hamid Abdul Kadir; Presiden Penang Amateur Athletics Association (PAAA), Dato' Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza; Presiden Persatuan Kebajikan Asas Pulau Pinang, Alagesan Ayaru dan Pengerusi Peace Road Charity Run Penang 2019, Tan Yee Wen.

Pada majlis yang sama, Ahmad Munir turut mengharapkan program berimpak tinggi ini mampu mempromosikan budaya jaringan universiti-komuniti yang proaktif, inklusif dan holistik selain seiring dengan kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan.

"USM sentiasa menyokong usaha badan-badan yang menganjurkan program keamanan dan pastinya peserta yang berkumpul pada pagi ini mempunyai iltizam tinggi mencintai keamanan dan memahami budaya berbilang kaum di negara ini," katanya.

Para kenamaan juga berkesempatan melepaskan peserta larian bagi kategori larian sejauh 3.5 km dan 7 km, dan turut menyertai larian sejauh 3.5 km di dalam kampus.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 817

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024