USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEGAWAI UTAMA UNIVERSITI TERIMA DARJAH KEBESARAN DAN PINGAT DARI TUANKU RAJA PERLIS

darjah

ARAU, PERLIS, 12 Oktober 2019 – Dua Timbalan Naib Canselor dan seorang Ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU) Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan antara 19 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perlis sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-76 DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku Raja Perlis, dalam istiadat yang berlangsung di Istana Arau di sini hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menerima anugerah Darjah Dato' Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Dato'.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menerima anugerah Darjah Dato' Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) yang juga membawa gelaran Dato'.

Sementara itu, ahli LGU USM, Profesor Dr. Abd Karim Alias, yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) USM telah dianugerahkan Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP) bersama dengan tujuh penerima yang lain.

Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU) Dr. Hari Narayanan P. Ondiveeran dan ahli-ahli LGU; Naib Canselor, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan serta seluruh warga USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ketiga-tiga penerima tersebut.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Seramai 179 penerima dianugerahkan lain-lain darjah akan menerima anugerah masing-masing dalam majlis yang akan diadakan kemudian.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1278

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024