USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR FAISAL RAFIQ DILANTIK NAIB CANSELOR KELAPAN USM

rafiq2

USM PULAU PINANG, 4 Oktober 2019 – Selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 13 (1) Perlembagaan Universiti Sains Malaysia (USM), Menteri Pendidikan YB Dr. Maszlee Malik telah bersetuju melantik Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan sebagai Naib Canselor kelapan USM bagi tempoh tiga (3) tahun berkuatkuasa mulai 4 Oktober 2019 hingga 3 Oktober 2022.

Pelantikan ini dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam terdiri daripada panel bebas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Zarinah Anwar dan dianggotai oleh Tan Sri Wahid Omar, Tan Sri Dato' Dr. Lin-See Yan, Dato’ Prof. Dr. Mohamad Abdul Razak dan Dr. Andrew Aeria pada 4 September 2019 yang lalu. Panel ini juga dianggotai oleh Pengerusi Lembaga Gabenor USM dan dua Wakil Senat USM.

Pelantikan Rafiq sebagai Naib Canselor USM adalah berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau semasa memegang jawatan pentadbiran utama iaitu, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Malaya (UM) selama 6 tahun dan jawatan-jawatan sebelumnya sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran, Pengerusi Lembaga Gabenor USM mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan Rafiq sebagai Naib Canselor USM yang baharu. Beliau menyeru semua warga USM untuk memberi sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada Naib Canselor yang baharu kerana usaha memastikan kecemerlangan USM adalah tanggungjawab bersama.

“Saya yakin bahawa kepimpinan yang baharu ini mampu membawa USM ke tahap yang lebih tinggi khususnya dalam memperjuangkan agenda kelestarian yang telah sekian lama menjadi roh universiti ini,” kata beliau.

Beliau dan kepimpinan tertinggi universiti juga komited bagi memastikan proses peralihan pucuk pimpinan universiti dapat dilaksanakan dengan sesempurna mungkin.

Bagi pihak USM, Pengerusi LGU turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor USM mulai 4 Oktober 2016 hingga 3 Oktober 2019.

Beliau berbangga kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan Asma sehingga membawa USM tersenarai pada kedudukan 49 terbaik dunia menerusi THE University Impact Rankings 2019 dan pada kedudukan 165 universiti terbaik dunia oleh QS World University Rankings.

Asma kini menggalas tanggungjawab yang lebih besar sebagai Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM).

LATAR BELAKANG DAN PENGALAMAN

Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berasal dari Kuala Lumpur dan dilahirkan pada 9 Julai 1975 (44 tahun). Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom pada tahun 1997 dan seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (MEngSc) di Universiti Malaya pada tahun 1999. Pada tahun 2007, beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran (Integrated Optical Devices) dari University of Southampton, United Kingdom.

Juga terdahulu, sebagai Pengurusan Tertinggi UM, beliau terlibat dalam meningkatkan kecemerlangan dan ketampakan UM di peringkat global yang meningkatkan kedudukan UM di tempat ke-70 dalam kedudukan 100 terbaik dunia berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020. Universiti Malaya juga telah dinobatkan berada di kedudukan ke-10 di kalangan universiti-universiti global dalam bidang kejuruteraan. Kejayaan ini telah diumumkan oleh pihak U.S. News dalam penerbitan U.S. News 2018 Best Global Universities Ranking.

Semasa memegang portfolio Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), antara inovasi yang telah dilaksanakan oleh beliau adalah pengurusan air dan sisa, penyelidikan serta pendidikan bagi pembangunan yang mampan sehingga memperoleh pengiktirafan Most Sustainable (Greenest) City Centre University in Asia oleh UI Green Metric pada tahun 2017 dan 2018. Selain itu, Rafiq juga telah berjaya mengkomersilkan produk penyelidikan melalui spin-off beliau Flexilicate Sdn. Bhd.

USM mengucapkan syabas kepada beliau atas lantikan tersebut.

  • Created on .
  • Hits: 1766

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024