USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KLINIK BERGERAK BAKAL BERI MANFAAT KEPADA OKU DAN WARGA EMAS

klinikkl3

USM KUBANG KERIAN, 2 Oktober 2019 – Klinik bergerak yang dilengkapi peralatan perawatan dengan kos 2.2 juta secara rasminya hari ini diserahkan kepada Universiti Sains Malaysia (USM) oleh Dato' Dr. Mahmood Merican selaku penyumbang utama dana.

Berucap semasa merasmikan Program Libatsama Komuniti USM-Merican, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, USM amat berbesar hati menerima sumbangan daripada Dato' Dr. Mahmood Merican dan keluarga sebagai peneraju kepada aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh USM.

"Hari ini kita dapat melihat dua buah bas yang telah diubahsuai menjadi klinik bergerak dilengkapi peralatan untuk rawatan mata, hidung dan telinga serta rehabilitasi bagi kemudahan mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di hospital terutamanya di kawasan pedalaman.

"USM mempunyai ramai pakar dalam pelbagai bidang dan ini adalah satu platform yang sangat baik kerana ianya bakal memberi impak yang besar kepada masyarakat di negeri Kelantan," ujar beliau.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, USM sentiasa menjalankan program-program kemasyarakatan melalui pelbagai jabatan dari Kampus Kesihatan.

"Kita sentiasa turun padang dan memberi khidmat perawatan di lapangan kepada masyarakat melalui program-program yang dilaksanakan contohnya oleh Unit Komuniti Psikiatri, Pemeriksaan Mata Jabatan Oftalmologi, Jabatan Perubatan Masyarakat dan Keluarga, Kluster Orang Kurang Upaya (OKU) dan Celebral Palsy oleh Nexus, Sains Senaman dan Sukan, Perkhidmatan Pergigian Bergerak, Ujian Saringan Pendengaran serta tidak ketinggalan lawatan ke rumah pesakit oleh Unit Pemulihan.

"Dengan adanya klinik bergerak ini, kita dapat menyantuni pesakit, meningkatkan penjagaan kesihatan dan memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menerima penjagaan khas daripada pakar-pakar khususnya golongan tua dan mereka yang berkeperluan khas," jelasnya.

Tambah Shaiful, di bawah program libatsama komuniti USM-Merican ini, USM akan turut bekerjasama dengan hospital dan klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan aktiviti di kawasan-kawasan yang dipilih mengikut keperluan penduduk.

Dato' Dr. Mahmood Osman Merican merupakan seorang pakar Ortopedik yang memulakan kerjaya beliau di Jabatan Ortopedik, Hospital Besar Kuala Lumpur pada tahun 1963.

Walaupun telah bersara, beliau tetap aktif dalam kerja-kerja amal. Beliau antara pengasas Persatuan Pemulihan Orang Cacat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Yayasan Ortopedik di Universiti Malaya dan Yayasan Kolej Sultan Ismail yang memfokuskan kepada meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa inggeris di sekolah lama beliau itu.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1863

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024