BERUSAHA DENGAN GIGIH, PASTIKAN KEMAKMURAN GENERASI AKAN DATANG – CANSELOR

Strategic Communications Office 293

PULAU PINANG, 29 September 2019 – Tuanku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah supaya para akademia berusaha dengan lebih gigih dan ikhlas bagi memastikan kemakmuran generasi akan datang serta kemajuan negara dipelihara.

Tuanku Canselor dalam titahnya di Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2018 (MASS’18) menyeru juga agar para cendekiawan untuk terus berbakti serta melahirkan idea-idea untuk peningkatan tahap pendidikan generasi muda kerana kejayaan pada hari ini juga adalah hasil usaha generasi terdahulu.

“Penubuhan USM disebut-sebut sejak dari tahun 1950-an lagi. Ianya bukanlah sebuah universiti yang ditubuhkan secara suka-suka tetapi diwujudkan kerana negara pada ketika itu sedar bahawa pendidikan adalah jalan keluar dari kedaifan dan keadaan serba mundur pada ketika itu.

“Setelah wujudnya Universiti Pulau Pinang yang kemudiannya ditukar nama kepada Universiti Sains Malaysia, ekonomi negara bertambah rancak dan negara semakin maju,” titah Tuanku Canselor.

“Seringkali digambarkan bahawa USM ‘is the University of many firsts’ dan Sanggar Sanjung pastinya antara idea hebat yang dibawakan oleh Universiti ini sehingga ia turut menjadi pencetus kepada apa yang kini dikenali sebagai Anugerah Akademik Negara di peringkat kebangsaan,” kata Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

MASS’18 dianjurkan bagi mengiktiraf para penyelidik dan pensyarah dalam beberapa kategori anugerah iaitu Anugerah Kreativiti, Penerbitan Buku dan Jurnal, Pengkomersilan Produk Penyelidikan, Paten dan Ketokohan.

Turut disampaikan adalah beberapa anugerah lain selain anugerah sanggar sanjung iaitu Anugerah Mentor Keusahawanan, Kualiti, Pendidik Sanjungan, Pentadbir Sanjungan, Sanjungan Industri dan Kepimpinan Masyarakat.

“Semua penerima bagi setiap anugerah ini telah menjalani tapisan yang ketat yang melihat kepada bukan sahaja kualiti dan kuantiti, malah juga impak kepada masyarakat dan negara,” tambah Naib Canselor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk MASS’18.

Anugerah Ketokohan MASS’18 disandang oleh pensyarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Kampus Induk iaitu Profesor Madya Dr. Oon Chern Ein dan juga Profesor Dato’ Dr. Abd. Aziz Tajuddin, pensyarah Pusat Pengajian Sains Fizik yang juga mantan Pendaftar USM.

Sempena sambutan ulang tahun USM ke-50, Tuanku Canselor menganugerahkan dua keping wang kertas bernilai RM600.00 dan RM60.00 yang jarang atau mungkin tidak pernah dilihat oleh orang awam untuk simpanan dan dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM.

Wang kertas tersebut dikeluarkan sempena ulang tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Pada majlis yang sama, Tuanku Canselor turut melancarkan sebuah buku terbitan Penerbit USM iaitu 50 Years of Leading Knowledge for Change. Buku ini diterbitkan sempena 50 tahun penubuhan USM dan memaparkan inisiatif kelestarian yang menyerlah dalam bidang kemanusiaan, sains dan teknologi, serta kejayaan Universiti dalam menggerakkan perubahan menerusi ilmu.

Buku ini turut memaparkan kejayaan USM yang tersohor dan terulung sejak penubuhannya pada tahun 1969 sehingga jubli emas pada tahun yang meliputi inovasi dalam penghasilan dan perkongsian ilmu, pembelajaran serta tadbir urus yang menjadikan nama USM gah pada mata dunia.

Turut hadir meraikan semua penerima adalah Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas dan isteri; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Gazali Abas; Datuk Bandar Bandaraya Pulau Pinang, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pro-pro Canselor dan Pengerusi Lembaga Gabenor USM serta pengurusan tertinggi USM.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015