USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CANSELOR USM GESA UNIVERSITI BERSEDIA UNTUK TERUS MAJU 50 TAHUN AKAN DATANG

konvo13

PULAU PINANG, 23 September 2019 – “Lima puluh tahun, lima dekad, separuh abad,” begitulah di antara bait-bait doa yang dilafazkan oleh mantan Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dato’ Ustaz Haji Elias Zakaria, sewaktu membacakan doa di akhir upacara konvokesyen komemoratif baru-baru ini.

Doa beliau di antaranya memohon agar universiti ini terus berjaya dan bergerak maju bersama warga staf dan pelajarnya di masa hadapan, di bawah naungan Canselornya yang juga Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Tuanku Canselor di dalam titahnya di Upacara Konvokesyen Komemoratif bersempena Sambutan 50 Tahun USM mengimbau kembali sejarah penubuhan universiti ini oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Cadangan penubuhan universiti ini disokong oleh pelbagai pihak pada waktu itu, termasuk dari institusi pendidikan terkenal dunia seperti University of Cambridge, Oxford dan Yale; tidak ketinggalan juga alumni University of Malaya yang ketika itu bertapak di Singapura. Maka tertubuh Universiti Sains Malaysia (nama asalnya Universiti Pulau Pinang) sekitar tahun 1969-1972.

Tuanku Canselor seterusnya mengingatkan betapa perlunya USM melakarkan perjalanan 50 tahun berikutnya.

“Amat penting dibentuk budaya ilmu yang jitu dan melangkau kepentingan peribadi, kerana ilmu yang terbentuk akan menjadi penyuluh kebenaran,” titah baginda lagi.

Tuanku Canselor juga memaklumkan bahawa untuk membina sebuah universiti, perlu ada sifat berani dan kesanggupan untuk berkorban. Berani serta penuh gagasan dalam perjalanan 50 tahun akan datang.

“Selain itu, penting juga untuk universiti bertaraf APEX pertama negara ini memberi keseimbangan dalam menghasilkan kemajuan teknologi dan peradaban manusia. Usaha ini perlu berteraskan kesopanan dan kesusilaan, saling percaya-mempercayai dan ada semangat bantu-membantu,” tambah baginda.

Tun M.mp4 snapshot 00.20.251

Bersempena sambutan 50 tahun USM ini, Tuanku Canselor dan universiti juga telah berbesar hati memberi Anugerah Kelestarian Canselor buat pertama kalinya. Penerima yang terpilih adalah YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad.

In berikutan dengan segala usaha beliau sebagai seorang negarawan unggul, serta corak pentadbirannya yang penuh kelestarian selama ini. Ini amat bersesuaian dengan matlamat USM dalam mempelopori perubahan dan kelestarian masa hadapan sejak penubuhannya.

Akhir sekali, Tuanku Canselor mengucapkan tahniah dan syabas kepada USM, serta mengingatkan betapa pentingnya untuk bersedia dalam menghadapi senario dunia akan datang, serta kekal relevan di sebalik perubahan dunia serba mencabar.

REN 4650

Upacara Konvokesyen Komemoratif tersebut turut dihadiri oleh DYMM Raja Perempuan Perlis; Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik dan isteri; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Dato Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Pro-pro Canselor USM; Naib Canselor USM, Professor Datuk Dr. Asma Ismail; Timbalan-timbalan Naib Canselor, para penerima Ijazah Kehormat, wakil-wakil universiti dalam dan luar negara serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 1033

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024