USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KARNIVAL #USMFIT DAN KEMBARA SISWA PATRIOTIK RAI PELAJAR BAHARU

fit 12

USM PULAU PINANG, 13 September 2019 – Penganjuran Karnival #USMFIT sempena sambutan ulang tahun ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kembara Siswa Patriotik diadakan baru-baru ini bagi meraikan kemasukan pelajar baharu Sidang Akademik 2019/2020.

fit 6

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, program #USMFIT telah dilancarkan pada Februari 2018 bagi membudayakan gaya hidup sihat yang lestari dan holistik manakala program Kembara Siswa Patriotik adalah untuk meraikan kepelbagaian budaya masyarakat serta menzahirkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya golongan mahasiswa di negara kita, Malaysia.

fit 22

fit 35

“Pelbagai program telah dijalankan di ketiga-tiga kampus sepanjang tahun 2018 dan 2019 dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) diberikan ruang untuk merancang aktiviti mengikut kreativiti masing-masing untuk merealisasikan hasrat universiti yang ingin mewujudkan aktiviti yang memupuk semangat kecergasan dan kesejahteraan,” kata Naib Canselor.

“Patriotisme dan #USMFIT kedua-duanya untuk kesejahteraan dan keharmonian seluruh warga negara dan kita juga ingin bangunkan masa hadapan negara yang sejahtera, merdeka dan berdaulat,” tambahnya lagi.

Pada tahun 2018, telah diadakan juga Weight Challenge untuk warga staf USM dan pemenang utama bagi program ini adalah Penolong Jurutera dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kampus Kejuruteraan, Muhammad Ismail Abu Talib dengan penurunan berat sebanyak 10.3 kilogram bagi kategori lelaki manakala kategori wanita dimenangi oleh Jururawat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Hatini Baharudin dengan penurunan berat sebanyak 6.20 kilogram.

Bersempena dengan Karnival #USMFIT pelbagai acara menarik telah dijalankan termasuk pertandingan permainan tradisional, Aerodance, Track Challenge, Klinik Obesiti dan juga perlawanan bola sepak antara pasukan veteran USM dan pasukan bekas pemain bola sepak negeri Pulau Pinang yang dimenangi oleh pasukan bekas pemain negeri Pulau Pinang dengan jaringan 3-0.

fit 44

Seramai 3,000 orang peserta termasuk pelajar baharu yang berpakaian kebangsaan/tradisional telah berjalan sambil mengibarkan bendera negeri dan negara keluar melalui Pintu Stadium menuju ke kawasan perumahan berhampiran iaitu Taman Pekaka, Sungai Dua dan memasuki kampus semula melalui Pintu Sg. Dua (Masjid Al-Malik Khalid) sehingga ke Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM. 

fit 76

Turut hadir bersama-sama pelajar dalam program-program ini ialah Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Zaid Omar; Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; TNC Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Pengerusi Program #USMFIT Karnival sempena sambutan 50 tahun USM, Dr. Norehan Mokhtar dan ketua-ketua jabatan USM.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 1218

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024